Categories
SELANGOR

Operasi cara haram, pengusaha hotel akan didakwa

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 12 MEI: Operasi penguatkuasaan hotel tanpa lesen dijalankan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sekitar kawasan itu hari ini bagi memastikan premis beroperasi mengikut undang-undang dikuatkuasakan.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Korporat MPSJ, Helda Syima Abu Talab, berkata pengusaha premis hotel perlu mematuhi syarat dan undang-undang ditetapkan supaya sebarang tindakan tidak dikenakan ke atas mereka.

helda penolong pengarah korporat mpsj“Premis hotel didapati beroperasi tanpa lesen akan diberi notis tawaran kompaun tidak melebihi RM1,000 dan kita akan menutup premis berkenaan.

“Selepas tindakan ini jika premis sama masih beroperasi secara tidak sah, maka tindakan pendakwaan akan dilakukan majlis,” katanya kepada pemberita ketika operasi itu dijalankan di sini.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyediakan garis panduan lengkap berkenaan syarat permohonan lesen bagi kemudahan pihak berkaitan dan ia boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.mpsj.gov.my

Setakat ini, katanya, terdapat 60 hotel di Subang Jaya memiliki lesen manakala 30 hotel lain dikenal pasti beroperasi secara tidak sah.

“Operasi dijalankan hari ini diketuai Jabatan Pelesenan dan disertai 15 anggota penguatkuasa dengan menyasarkan semua hotel itu untuk ditutup.

“MPSJ menjalankan tindakan di sekitar kawasan ini di bawah Undang-undang Kecil Hotel MPSJ 2013 dan Undang-undang Kecil Iklan MPSJ 2007,” katanya.

IMG_4802 aKetika operasi dijalankan, dua daripada 30 hotel diambil tindakan penutupan dengan rampasan empat televisyen dan satu komputer dari kedua-dua premis berkenaan.

Semua penyewa pula diarahkan mengosongkan bilik masing-masing dan keluar meninggalkan hotel berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan tindakan itu adalah yang pertama untuk tahun ini ke atas premis hotel berkenaan.

Katanya, MPSJ mendapati terdapat premis perniagaan yang baru beroperasi manakala selebihnya sudah lama.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.