OLEH : HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 14 MEI: Biarpun tidak diletakkan sandaran tinggi serta dianggap pasukan ‘underdog’ namun PKNS FC menunjukkan aksi terbaiknya berhadapan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Namun nasib tidak menyebelahi PKNS FC apabila tewas tipis 2 – 1 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini.
JDT walaupun menepati ramalan namun juara Liga Super itu tidak diberi laluan mudah oleh kelab dari Selangor itu.
The Red Ants terlebih dulu mendahului menerusi penyerang import, Gabriel Geurra pada minit kelima melepasi penjaga gol, Izham Tarmizi.
Ia berpunca apabila ketua pasukan, Gonzalo Soto dikasari Aidil Zakuan di depan pintu gol JDT.
Namun JDT bertindak balas menyamakan kedudukan juga menerusi tendangan penalti disempurnakan ketua pasukan, Safiq Rahim (m15).
Safiq mudah memperdayakan penjaga gol PKNS FC, G Jeevanathan, yang sebelum itu menjatuhkan Jorge Pereyra Diaz di dalam kawasan penalti.
Kedudukan 1 – 1 merancakkan perlawanan dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan yang mencetuskan kemeriahan aksi akhir ditonton lebih 75,000 penonton di stadium itu.
Serangan pantas JDT membuahkan hasil dengan Jorge Pereyra Diaz (m35) berjaya menjaringkan gol kedua pasukannya untuk mendahului PKNS FC hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, JDT dan PKNS FC menggandakan asakan bagi memburu gol namun tiada penyudahan sempurna.
Skuad kendalian E Elavarasan terus berusaha bagi mencari gol penyamaan tetapi dihampakan pertahanan JDT yang kental.
Percubaan Geurra (m70) tidak menepati begitu juga Juan Corbelli (m85) yang menyepak sipi.
Kejuaraan Piala FA adalah yang kedua bagi JDT selepas memenangi Piala Sumbangsih mengalahkan Selangor ketika membuka tirai Liga Super tahun ini.
EZY