Categories
NASIONAL

RM10 juta untuk forum, RM817,000 ucapan Arnold Schwarzenegger

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Keputusan Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM10 juta kepada BFR Institute Sdn Bhd untuk menganjurkan forum Transformasi Global, pada Oktober ini dianggap terlalu tinggi.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata jumlah itu turut membabitkan sejumlah bayaran yang dianggarkan US200,000 (RM817,883) kepada bekas Gabenor California yang juga pelakon Hollywood, Arnold Schwarzenegger.

Ong Kian Ming 01“Dalam keadaan biasa, saya menjadi sangsi dengan perbelanjaan RM10 juta oleh Kerajaan Persekutuan untuk menganjurkan forum terutama bayaran tinggi kepada penceramah selebriti.

“Sebagai contoh, Arnold Schwarzenegger mengenakan caj dianggarkan USD200,000 bagi satu ucapan tidak termasuk pembiayaan kos penerbangan dan kos lain,” kata Kian Ming pada sidang media di lobi Dewan Parlimen, di sini, hari ini.

Kian Ming turut melahirkan rasa sangsi sama ada forum berlangsung tiga hari dan menelan perbelanjaan tinggi itu memberi kesan positif terhadap kepentingan negara untuk jangka masa panjang.

Katanya, beliau memperoleh angka itu apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menjawab soalannya pada Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.