Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor peruntuk RM134 juta atasi banjir

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 MEI: Sejumlah RM134 juta dibelanjakan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi pelaksanaan projek tebatan banjir dan caruman parit tahun ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata daripada jumlah itu, RM74 juta akan digunakan bagi menaik taraf sistem saliran dan kolam takungan, sementara RM60 juta untuk pembangunan tebatan banjir.

zaidy“Sebanyak 84 syarikat perunding dan juru ukur kejuruteraan menerima watikah lantikan bulan Mac lepas bagi Program Pembangunan Tebatan Banjir.

“Pelantikan ini bertujuan menyediakan reka bentuk terperinci dan kerja ukur bagi keperluan 43 projek baru tebatan banjir yang akan mula dilaksanakan pertengahan 2016,” katanya dalam kenyataan.

Pada 2015, terdapat 83 kawasan hotspot banjir serius dikenal pasti daripada jumlah keseluruhan sebanyak 171 hotspot.

Untuk tahun ini pula, terdapat 37 kawasan hotspot banjir serius dikenal pasti daripada 40 hotspot yang dilaporkan berlaku sehingga kini.

Pada masa sama, Zaidy berkata, RM399 juta diperuntukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) bagi melaksanakan 43 projek baru tebatan banjir di seluruh Selangor.

YB Yeo Bee Yin isu kolam takungan banjir (5)Katanya, sebanyak 37 projek sambungan tebatan banjir menerusi RMK10 juga masih giat dilaksanakan dengan anggaran kos RM121 juta, membabitkan 13 kawasan hotspot banjir serius.

“Kita juga menjalankan sebanyak 16 operasi Ops Lumpur membabitkan 16 buah projek pembangunan yang sedang di dalam kerja tanah pada 2015.

“Pada tahun ini pula kita optimis untuk menjalankan sebanyak 58 operasi Ops Lumpur bagi memastikan kepatuhan pihak pemaju agar mengikut syarat pelan kerja tanah yang ditetapkan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.