Categories
SELANGOR

Selangor promosi halal, e-dagang tarik pelabur China

BEIJING, 30 MEI : Invest Selangor Bhd kini memberi tumpuan kepada promosi e-dagang dan halal bagi menarik lebih ramai pelabur asing, terutama dari China, ekonomi kedua terbesar dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Hasan Azhari Idris, berkata China adalah pasaran yang menawarkan banyak peluang.

“Bagaimanapun, Invest Selangor kini mempromosi industri khusus kepada syarikat China, iaitu halal dan e-dagang.

Selangor maju“Industri halal menawarkan potensi terbesar kepada syarikat China untuk dimanfaatkan. Mereka menghadapi kesukaran untuk mendapat pensijilan.
“Oleh itu mereka mendirikan kilang pemprosesan di Selangor dan mendapatkan pensijilan halal Malaysia, yang diiktiraf di seluruh dunia,” katanya dipetik BERNAMA.

Hasan Azhari berkata demikian selepas pembentangan di seminar mengenai peluang perniagaan ditawarkan Selangor di Pameran Perdagangan dan Perkhidmatan Antarabangsa China-Beijing, di sini, hari ini.

Cabang pelaburan Kerajaan Selangor itu dalam misi pelaburan seminggu ke China meliputi Beijing, Yinchuan (ibu negeri wilayah autonomi Ningxia Hui), Xi’an (ibu negeri wilayah Shaanxi), Chengdu dan Mianyang di wilayah Sichuan.

Delegasi terdiri daripada lapan pegawai itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Selangor untuk Industri dan Perdagangan, Perusahaan Kecil dan Sederhana serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim.

Hasan Azhari berkata, terdapat potensi besar dalam industri berteknologi tinggi dan kenaikan kos buruh di China memberi kelebihan kepada Malaysia.

Menurutnya, syarikat Malaysia perlu merebut peluang untuk menarik lebih banyak syarikat China untuk mendirikan perniagaan di Selangor dan Malaysia.

Selain itu, Hasan Azhari berkata, Selangor bukan sahaja menarik pelaburan dari China, tetapi menawarkan batu loncatan kepada pasaran ASEAN yang berpenduduk 625 juta.

Walaupun, tiga pelabur terbesar di Selangor adalah dari Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat, Hasan Azhari percaya, peningkatan usaha promosi dengan memberi tumpuan ke atas lima kelompok utama akan menarik lebih ramai pelabur dari China.

INVEST SELANGORKelompok terbabit ialah elektrik dan elektronik, peralatan pengangkutan, sains hayat, pengeluaran makanan dan minuman serta kejenteraan dan kelengkapan.

Sementara itu, Teng berkata, misi itu memberi tumpuan kepada dua matlamat iaitu mempromosi Selangor sebagai pintu masuk perniagaan dan mengalu-alukan syarikat China terlibat dalam Ekspo Antarabangsa Selngor mulai 20 hingga 22 Oktober depan.

Menurutnya, edisi kedua ekspo itu menyasarkan 700 gerai dengan kira-kira 50 hingga 60 peratus sudah dijual berikutan kejayaan acara sulung tahun lepas dengan 400 gerai.

Teng berkata, Selangor kini mempromosi e-dagang kerana industri itu sudah pun maju di China, tetapi usahawan di sana belum lagi mengembangkan perniagaan mereka di luar negara.

“Terdapat banyak peluang berikutan kedudukan strategik Selangor. Kami cuma menarik usahawan China untuk datang dan menjadikan Selangor sebagai pangkalan mereka untuk mengembangkan perniagaan ke ASEAN, Asia serta di peringkat global,” katanya.

Teng berkata, Selangor juga memperkenalkan Halal Antarabangsa Selangor, satu platform baharu untuk memudahkan proses mendapatkan pengiktirafan halal.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.