Categories
SELANGOR

#SmartSelangor Food Stamp 2016 bantu rakyat kurang mampu

OLEH : HAFIZAN TAIB

SUNGAI BESAR, 21 MEI: Agenda pembangunan berkualiti dan insiatif peduli rakyat membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan membela nasib rakyat di Selangor.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata pengenalan program bantuan makanan asas “#SmartSelangor Food Stamp” 2016 adalah satu lagi program kebajikan untuk manfaat golongan kurang berkemampuan di negeri itu.

IMG_6249Katanya, ia adalah satu inisiatif baru Kerajaan Negeri hasil cetusan idea Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dibentangkan dalam Belanjawan 2016 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), November tahun lalu.

“Ia direalisasikan bagi meringankan beban rakyat Selangor yang memerlukan di mana ketika ini kita semua maklumkan seluruh rakyat di Malaysia dihimpit dengan kepayahan akibat kos sara hidup tinggi,” katanya berucap dalam majlis pelancaran program itu di Dewan Seri Bernam, di sini, semalam.

Mohamed Azmin melancarkan program itu dan menyerahkan bantuan kepada 100 keluarga dari DUN Sungai Panjang dan 10 keluarga (DUN Sekinchan).

Beliau berkata, program bantuan bulanan bermula Jun ini dengan peruntukan RM3 juta akan memberi manfaat kepada 5,600 keluarga termiskin di 56 DUN seluruh Selangor.

“Sebagai Kerajaan Negeri prihatin dan berkebajikan, bersetuju untuk melaksanakan program ini demi kepentingan rakyat.

“Program telah dirancang lebih awal dan bukan semata-mata terdapat perkara berlaku di Sungai Besar ini,” katanya.

Kawasan parlimen Sungai Besar kini menjadi tumpuan ramai kerana Pilihanraya Kecil (PRK) akan diadakan pada 18 Jun ekoran kematian Allahyarham Datuk Noriah Kasnon yang terkorban dalam kemalangan helikopter bersama lima yang lain di Sebuyau, Kuching, Sarawak, 5 Mei lalu.

Katanya, sememangnya rakyat di Selangor dan seluruh negara dibebani kos sara hidup tinggi terutamanya dalam keadaan ekonomi gawat serta implementasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh Kerajaan Persekutuan.

“Semoga ia dapat membantu meringankan beban ditanggung golongan berpendapatan rendah,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.