Categories
NASIONAL

Euro 2016: Croatia tewaskan Sepanyol, Jerman dan Poland menang selesa

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 22 JUN: Poland dan Croatia mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 pasukan terakhir selepas tamat aksi peringkat kumpulan awal pagi ini.

Kedua-dua pasukan layak mengiringi juara bertahan Sepanyol serta juara Piala Dunia 2014, Jerman yang sudah mengesahkan tempat lebih awal.

Namun, Croatia mencipta kejutan terbesar kejohanan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sepanyol 2-1 bagi merampas takhta selaku juara Kumpulan D.

La Roja terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Alvaro Morata selepas menampan bola percubaan Cesc Fabregas.

EURO 2016Ini merupakan jaringan ketiga Morata dalam edisi Euro 2016 dan berkongsi kedudukan penjaring terbanyak semasa bersama pemain Wales, Gareth Bale.

Tersentak dengan jaringan itu, Croatia bangkit mengasak dan hasilnya, Nikola Kalinic berjaya merobek gawang dikawal David De Gea bagi menyamakan kedudukan di lewat babak pertama.

Gol berpunca daripada hantaran lintang Ivan Perisic sebelum berjaya dikuis masuk Kalinic.

Jaringan itu juga meleburkan rekod 10 perlawanan tanpa bolos Sepanyol dalam kejohanan Eropah.

Sepanyol berpeluang untuk mendahului pada babak kedua menerusi Sergio Ramos namun sepakan ketua pasukan itu berjaya diselamatkan Danijel Subasic pada minit ke-72.

Ivan Perisic muncul wira Vatreni apabila berjaya merembat masuk bola pada minit ke-87 hasil larian solo bagi menewaskan pertahanan, Gerard Pique dan De Gea.

Dengan kemenangan itu, Croatia merampas kedudukan selaku juara Kumpulan D dengan tujuh mata sementara Sepanyol kedua dengan enam mata.

Dalam satu lagi perlawanan, Turki berjaya mencatatkan kemenangan pertama untuk menduduki tempat ketiga apabila menewaskan Republik Czech 0-2.

Turki mendahului pada minit ke-10 selepas Burak Yilmaz berjaya menyudahkan hantaran lintang Emre Mor.

Ozan Tufan memastikan Turki terus selesa pada minit ke-65 selepas merembat kencang ke gawang Czech pada separuh masa kedua.

Kemenangan itu juga sangat berharga buat Turki bagi mengumpul tiga mata dan menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati selepas memintas Czech di tempat keempat.

Dalam aksi Kumpulan C, Jerman dan Poland masing-masing mencatatkan kemenangan dalam aksi ketiga peringkat kumpulan dengan keputusan 1-0.

Jerman yang bertemu Ireland membuka tirai jaringan pada minit ke-30 hasil tolakan Mario Gomez selepas menerima umpanan ke belakang Thomas Mueller.

Bersambung babak kedua, Die Mannschaf melancarkan serangan bertali arus menerusi pemain tengah, Mesut Ozil namun pujian harus diberikan kepada penjaga gol Ireland, Michael McGovern yang berjaya menghalang hampir 10 percubaan.

Perlawanan yang berlangsung tanpa sebarang layangan kad itu dikuasai hampir 70 peratus Jerman.

Sementara Poland yang mengiringi Jerman selaku naib juara kumpulan layak selepas menewaskan Ukraine hasil jaringan tunggal Jakub Blaszczykowski.

Tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama, The White Eagle terpaksa menanti hingga ke minit 54 untuk memecah kebuntuan hasil rembatan kaki kiri Blaszczykowski selepas menerima hantaran ke dalam kotak penalti Arkadiusz Milik.

Ukraine yang menguasai hampir 64 peratus perlawanan gagal menjaringkan sebarang gol dalam edisi Euro 2016.

Berakhir aksi Kumpulan C, Jerman selaku juara kumpulan berkongsi mata bersama Poland di tempat kedua dan hanya dipisahkan dengan perbezaan gol.

Sementara Ireland Utara yang mengutip tiga mata hasil satu kemenangan masih berpeluang untuk mara ke pusingan 16 terakhir menerusi slot empat slot tempat ketiga manakala Ukraine pulang hampa tanpa sebarang mata.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.