OLEH : AFIX REDZUAN
PARIS, 22 JUN: Jerman dan Poland masing-masing mencatatkan kemenangan dalam aksi ketiga Kumpulan C dengan keputusan 1-0.
Jerman yang bertemu Ireland membuka tirai jaringan pada minit ke-30 hasil tolakan Mario Gomez selepas menerima umpanan ke belakang Thomas Mueller.
Bersambung babak kedua, Die Mannschaf melancarkan serangan bertali arus menerusi gerakan dimulakan pemain tengah, Mesut Ozil namun pujian harus diberikan kepada penjaga gol Ireland, Michael McGovern yang berjaya menghalang hampir 10 percubaan.
Perlawanan yang berlangsung tanpa sebarang layangan kad itu dikuasai hampir 70 peratus oleh Jerman.
Sementara Poland yang mengiringi Jerman selaku naib juara kumpulan layak selepas menewaskan Ukraine hasil jaringan tunggal Jakub Blaszczykowski.
Tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama, The White Eagle terpaksa menanti hingga ke minit 54 untuk memecah kebuntuan hasil rembatan kaki kiri Blaszczykowski selepas menerima hantaran ke dalam kotak penalti Arkadiusz Milik.
Ukraine yang menguasai hampir 64 peratus perlawanan gagal menjaringkan sebarang gol dalam edisi Euro 2016.
Berakhir tiga perlawanan, Jerman selaku juara kumpulan berkongsi mata bersama Poland di tempat kedua dan hanya dipisahkan dengan perbezaan gol.
Sementara Ireland Utara yang mengutip tiga mata hasil satu kemenangan masih berpeluang untuk mara ke pusingan 16 terakhir menerusi slot empat slot tempat ketiga manakala Ukraine pulang hampa tanpa sebarang mata.
Dalam pusingan kalah mati, Poland diundi bertemu naib juara Kumpulan A, Switzerland sementara Jerman menanti pasukan tempat ketiga terbaik dari Kumpulan A, B atau F.
-NFN-