OLEH: NAZLI IBRAHIM
SABAK BERNAM, 18 JUN: Dianggarkan hampir 2,000 Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dinafikan hak mereka untuk mengundi apabila nama masing-masing didakwa hilang daripada daftar pengundi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed berkata perkara itu disedari beberapa hari sebelum tiba hari pengundian.
“Mereka datang pagi-pagi nak mengundi tetapi mereka kecewa tidak boleh mengundi kerana nama dah dipindahkan ke parlimen lain. Mereka orang kampung, selama ini mengundi di sini.
“Mereka fikir tentulah mereka akan mengundi di sini tetapi rupa-rupanya ada tangan ghaib gunakan kaedah mana entah memindahkan nama pengundi kawasan parlimen sini ke kawasan lain.
“Nama yang hilang ini hari ini semakin bertambah apabila pengundi menyemak nama masing-masing di pondok panas kami pagi ini,” kata Syed Hamid.
Beliau berkata demikian yang membantu kempen Parti Amanah Negara (Amanah) ketika ditemui SelangorKini di pondok panas parti itu di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Seri Utama di sini, hari ini.
Katanya lagi, menurut peraturan pilihan raya pemindahan Parlimen tidak sepatutnya berlaku seperti mana pemindahan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kalau pindah DUN sekali pun, cuma dalam kawasan parlimen sama sahaja bukan ditukar hingga ke parlimen lain seperti yang berlaku hari ini.
“SPR kena bertindak adil kepada pengundi, perlu mendapatkan persetujuan pengundi. Mungkin juga terdapat pihak menggunakan kad pengenalan mereka untuk menukar nama mereka ke parlimen lain.
“SPR buat kajian teliti pemindahan ini. Kebanyakkan mereka dipindah ke Parlimen Sabak Bernam,” kata beliau.
EZY