Categories
SELANGOR

Raja Muda pandu kereta, serah sumbangan Ramadan

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 21 JUN : Seramai 102 golongan memerlukan terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan asnaf menerima sumbangan daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam.

Sumbangan berupa barangan keperluan harian seperti makanan, wang tunai dan hamper disampaikan kepada penerima terpilih dari sekitar Kampung Perepat dan Kampung Jalan Nenas.

Raja Muda Selangor Tengku Amir serah sumbangan di Kapar (ASRI) (2)Pada masjlis itu, Baginda Raja Muda berkenan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari rumah ke rumah sejauh lebih 10KM menyampaikan sumbangan kepada empat penerima di rumah mereka.

Ketika sesi penyerahan sumbangan dibuat, Baginda turut menzahirkan rasa keprihatinanya terhadap musibah dan kesusahan dialami penerima sumbangan.

Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan kepada penerima terpilih di Surau Al-Muhajirin dan Masjid Kampung Perepat.

Kesemua penerima sumbangan disenarai pendek AJK Surau dan Masjid melalui senarai dikeluarkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) membabitkan golongan memerlukan di kedua-dua kampung berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Program, Zaiferez Hadzere, berkata program tersebut diperluaskan ke seluruh negeri bagi memastikan golongan sewajarnya mendapat perhatian.

“Baginda Raja Muda berkenan melibatkan diri dalam program ini untuk membantu rakyat Selangor memerlukan. Namun untuk tahun ini, kita sasarkan di sekitar Klang.

“Gerak kerja ini merupakan permulaan bagi kita dan diperluaskan lagi kerana Raja Muda sendiri mahu program berbentuk sukarela daripada belia digerakkan ke seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata, program tajaan Selangor Youth Community dengan kerjasama Saito Borneo dan Segi Fresh itu merupakan inisiatif daripada Baginda Raja Muda untuk memastikan golongan memerlukan tidak dipinggirkan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.