Categories
SELANGOR

Exco: amal hidup positif, pangsapuri harmoni

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SUNGAI BULOH, 17 JUN : Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni diwujudkan sebagai inisiatif menggalakkan masyarakat mengamalkan kehidupan positif dalam kehidupan seharian di pangsapuri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Dato Iskandar Abdul Samad, berkata usaha tersebut seiring matlamat Kerajaan Negeri merealisasikan Selangor Smart State menerusi penyertaan rakyat.

Iskandar SamadBeliau berkata, usaha tersebut perlu diperkukuhkan dengan amalan dan sifat tanggungjawab memastikan pentadbiran dan pengurusan pangsapuri dikawal selia dengan baik.

“Kunci kepada kejayaan pengurusan adalah terletak kepada kerjasama dan rasa kebertanggungjawaban dalam kalangan penduduk di pangsapuri ini.

“Usaha itu perlu disemai dengan rasa kebertanggungjawaban penduduk untuk memastikan pentadbiran ini dibuat secara konsisten bagi memastikan segala harta bersama seperti kemudahan lift disenggara dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Kempen Pangsapuri Kita Bersih Ceria dan Harmoni di Pangsapuri Iris Saujana Utama, Sungai Buloh, di sini malam tadi.

Hadir sama memeriahkan majlis, Yang Di Pertua Kuala Selangor, Noraini Roslan, Ahli Jawatankuasa Penduduk Pangsapuri Iris, dan penduduk setempat.

Pada masa sama, Iskandar berkata, program tersebut merupakan gerak kerja tahunan ke seluruh negeri melalui penyertaan beberapa pangsapuri serata dan agensi kerajaan.

CP2A4453“Program bersifat tahunan dan kita memang ada perbincangan bersama Yang Di Pertua untuk menggerakkan program ini dengan lebih meluas lagi untuk manfaat rakyat Selangor.

“Mungkin selepas ini program kerakyatan ini akan diadakan di kawasan luar bandar walaupun kita akui ada sedikit cabaran untuk melaksanakannya,” katanya.

Kempen siri pertama program diadakan sejak 2010 itu menerima sambutan yang amat memberangsangkan dalam kalangan penghuni pangsapuri.

Program itu turut melibatkan pameran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Perpaduan & Integrasi Nasional.

Ia juga turut melibatkan penyertaan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.