Categories
SELANGOR

Sultan Selangor rasmi Masjid Seksyen 7, Shah Alam

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Seksyen 7, Shah Alam yang mula beroperasi sepenuhnya pada 17 Julai 2014.

Semasa merasmikan masjid bernilai RM7.3 juta hasil sumbangan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Selangor (PKNS) itu, baginda turut berkenan menamakan masjid itu sebagai Masjid Seksyen 7, seperti nama kawasan terbabit.

CP2A7200-800x533“Beta berkenan menamakan masjid ini Masjid Seksyen 7, Shah Alam,” titah baginda pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Serta Perasmian Masjid di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim, dalam sembah ucapannya berkata masjid terbabit dibina atas keluasan tapak kira-kira tiga ekar dan mampu menampung 3,000 jemaah pada satu masa.

Katanya, masjid itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pejabat pengurusan, bilik mesyuarat, bilik kuliah, ruang serbaguna, bilik jenazah dan pondok rehat.

“Pembinaan Masjid di Seksyen 7, Shah Alam ini direalisasikan pada 15 Ogos 2011 dengan berkonsepkan dua ciri utama iaitu Timur Tengah dan tradisional Melayu,” katanya.

Haris turut mengingatkan pengurusan dan ahli jawatankuasa masjid supaya tidak mengehadkan fungsi masjid sebagai tempat ibadah sahaja, malah merangkumi aspek lain seperti sosial, ekonomi dan bidang lain seiring tuntutan dan perkembangan semasa.

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan bantuan raya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 287 asnaf fakir dan miskin serta 127 muallaf daripada Majis Agama Islam Selangor (MAIS).

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.