Categories
SELANGOR

Isu Little India: Keputusan MPK selaras Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan untuk mewartakan nama “Little India” di Jalan Tengku Kelana, Klang, dekat sini.

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz, berkata keputusan itu selari ketetapan dibuat Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan perkara terbabit dilaksanakan.

download“Perkara ini bukan baru dan sudah bermula sejak 2006 lagi, maka MPK tidak akan mempertimbangkannya,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Beliau berkata, tidak setakat Little India mewakili masyarakat India, perkara itu turut merangkumi penggunaan nama merujuk kepada bangsa lain.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Usahawan Little India, Klang, NP Raman menyatakan kekesalan susulan keputusan MPK menolak permohonannya mewartakan nama “Little India” di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta campur tangan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam menyelesaikannya.

“Saya menerima surat daripada Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin bertarikh 9 Jun 2016 yang menyebut permohonan yang dikemukakan oleh persatuan saya untuk mewartakan nama “Little India” tidak dibenarkan.

“Ini tidak seharusnya berlaku memandangkan kerajaan persekutuan bercadang untuk mewartakan 2017 sebagai “Tahun Melawat Klang” dan sudah tiba masanya untuk MPK mewartakan Little India sebagai nama rasmi,” katanya dipetik Bernama.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.