Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Raya yang dulu bukanlah yang sekarang

OLEH NORHAYATI UMOR

“Balik kampung, ho ho ho balik kampung…

“Perjalanan jauh tak ku rasa, kerna hati ku melonjak sama, ingin berjumpa sanak saudara, yang selalu bermain di mata…

“Ho ho hooo balik kampung…hati girang…”

BALIK KAMPUNGWah, memang lagu Allahyarham Sudirman ini mengasyikkan. Lebih lagi jika diputarkan ketika sedang memandu ke kampung halaman.

Walaupun berjam-jam menempuh kesesakan pastinya sedar atau tidak, separuh perjalanan sudah ditempuhi.

Bila sentuh berkenaan raya, apa agaknya yang menarik tahun ini ya?

Saya selalu mengimbau memori lalu.

Terbayang zaman kanak-kanak. Yang pastinya, ia adalah kenangan yang tidak mungkin akan dilupakan.

Tapi raya sekarang tidak semeriah dahulu. Ingat lagi, masa zaman kecil-kecil, rayalah hari paling seronok di dunia.

Malam raya pastinya adik beradik berkumpul. Kami sekeluarga akan tidur di depan televisyen.

Rumah riuh rendah, cahaya melimpah dalam rumah mahupun luar rumah.

Kemeriahan menyambut Syawal ketika zaman kecil memang tiada galang gantinya. Bangun awal pagi, bersiap dengan baju baru. Sangat teruja.

Seingat saya, zaman kecil dahulu tidak pernah ada tema baju raya seperti sekarang.

SALAMUntuk kami sekeluarga memang tidak pernah ada tema. Kalau ada tujuh adik-beradik, tujuhlah warna, corak dan gaya di pagi Syawal. Penuh warna-warni. Meriah sekali.

Begitu juga dengan mak dan abah. Tiada istilah ‘boria’.

Tetapi zaman sekarang, lain pula trendnya. Beberapa bulan sebelum raya, warna tema baju raya sudah dicanang seluruh keluarga (ramai macam ini), muafakat hendak menentukan tema warna apa tahun ini. Seronok juga.

Masing-masing keluar idea. Nak warna itu, ini. Suami isteri pun boleh bergaduh semata-mata warna tema hari raya.

Fesyennya juga lain-lain. Ada yang suka gaya kurung moden, ada yang jenuh pasang badan sebulan sebab hendak berkebaya, tidak kurang yang lelaki juga, masing-masing mahu nampak bergaya.

Paling comel dan seronok tentulah anak-anak kecil.

Tidak kisah bagaimana kita memilih baju raya, tentu ada kemanisannya sama ada zaman dulu mahupun sekarang.

Apa lagi yang seronok berkenaan raya? Oh lupa, semasa kita kecil tentunya kutip duit raya. Apa bezanya sekarang? Haha, saya pula yang nipis dompet hulur duit raya!

Waktu dulu, saya dan kawan-kawan akan pusing satu kampung kutip duit raya.

SAMPUL RAYATuan rumah dulu paling banyak hulur RM1. Kami anggap tuan rumah itu kaya. Duit yang dihulur tiada sampul raya. Hanya diberikan begitu sahaja.

RM0.20 paling banyak diterima. Tetapi waktu itu, 20 sen memang biasa.

Tidak ada rungutan pun keluar dari bibir kami. Senyum sahaja dan tetap seronok. Bagi saya itu semus bergantung kepada rezeki.

Saudara mara terdekat juga selalunya akan hulur lebih. Tetapi nak cerita, zaman dulu kutip duit raya memang menuntut kesabaran tinggi. Jenuh keliling kampung.

Namun, bila kita sudah dewasa, itulah memori paling ‘sweet’ dalam lipatan sejarah hidup.

Anak-anak sekarang lebih untung. Dengan perkembangan ekonomi dan taraf hidup masyarakat kini, tiada lagi yang ‘sudi’ hulur duit raya RM0.20. Apatah lagi di kota besar seperti Kuala Lumpur.

Malah, anak-anak kecil sekarang juga tidak seperti dahulu. Keluar dari rumah terus buka sampul dengan pakej rungutan kerana hanya diberikan RM1.

Diberi not hijau sekalipun tetap panjang muncungnya tidak puas hati.

Nilai duit tidak penting, sebaliknya keikhlasan yang dituntut supaya Syawal dapat dirai dengan penuh kegembiraan.

Walaupun umur bertambah, namun kemanisannya tetap ada. Aildilfitri yang dilalui setiap tahun akan masuk sebagai arkib kenangan di minda semua orang.

Apa yang penting, raikan hari kemenangan itu bersama keluarga tersayang secara bersederhana selaras tuntutan agama.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.