Categories
SELANGOR

Little India Klang jadi pilihan, semua kelengkapan mudah didapati

KLANG, 25 OKT: Little India di Jalan Tengku Kelana menjadi pilihan penganut Hindu mendapatkan segala kelengkapan sempena sambutan Deepavali minggu depan.

Pegawai tadbir diplomatik Kementerian Kewangan Haneeta Kaur berkata walaupun tinggal di Putrajaya dia sanggup mengambil cuti untuk membawa keluarga membeli-belah di situ.

“Di sini semuanya lengkap. Dari pakaian, perhiasan dan kuih ada dijual. Tambahan saya datang hari biasa jadi tidak perlu bersesak.

Haneeta kaur, 35

“Saya memang ambil cuti hari ini untuk pastikan Deepavali tahun ini disambut meriah. Tahun lalu kita tidak dapat beraya sangat kerana pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu K Gunasegaran, 45, berkata hanya biskut serta manisan belum dibeli dan menunggu minggu hadapan untuk mendapatkannya.

“Dua tiga hari sebelum raya saya akan datang semula ke sini. Nanti lagi banyak pilihan yang ada dan tawaran lebih menarik.

“Pengunjung juga pasti ramai jadi semua kena patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan jaga jarak masing-masing,” katanya.

Bagi K Pameela, 25, dia menggunakan waktu rehat syarikatnya dari jam 1 hingga 2 patang untuk datang membeli Sari memandangkan semua ahli keluarga sudah menyediakan pakaian.

K Gunasegaran, 45

“Hari biasa tak ramai orang membeli barang. Jadi senang nak pilih berbanding hari minggu. Pejabat juga tidak jauh jadi memudahkan urusan saya,” katanya.

Tahun ini kawasan itu kembali meriah dan menjadi tumpuan penganut Hindu membeli belah sempena Deepavali selepas beberapa kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Little India di Klang kembali meriah, sambutan Deepavali makin terasa

KLANG, 25 OKT: Little India di Jalan Tengku Kelana yang menjadi tumpuan penganut Hindu membeli-belah ketika Deepavali kembali meriah tahun ini selepas beberapa kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan.

Rata-rata pengunjung mendapatkan pakaian tradisi Sari dan Dhoti masing-masing serta kuih seperti muruku serta manisan bagi memastikan semua keperluan lengkap.

Ketua Pegawai Pemasaran Harekrishna Silk, S Gaithri

Ketua Pegawai Pemasaran Harekrishna Silk S Gaithri berkata pelanggan mula membanjiri kedainya sejak beberapa minggu lalu bagi mencari pakaian bersesuaian untuk digayakan di pagi raya.

Beliau berkata pelanggan bukan hanya datang dari sekitar Selangor malah negeri lain selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri.

“Sini memang menjadi tumpuan kaum Hindu membuat persiapan. Tahun ini semua mahu buat persiapan selengkapnya memandangkan tahun lepas hanya sambut ala kadar.

“Bagi memastikan semua dapat meraikan kemeriahan Deepavali, tahun ini kami tawarkan harga pakaian lebih rendah. Kami faham Covid-19 menyebabkan ramai yang terkesan,” katanya ditemui hari ini.

Pegawai Jualan dan Pemasaran Super Win Sdn Bhd J Harikrishnan berkata syarikatnya terpaksa menambah bekalan beras basmathi dan ponni selepas mendapat sambutan memberangsangkan.

Pegawai Jualan dan Pemasaran Super Win Sdn Bhd, J Harikrishnan

“Beras ini sesuai untuk masakan Briyani. Ramai pelanggan mahu hidangkan juadah itu ketika Deepavali. Jadi kami terpaksa menambah lebih banyak bekalan,” katanya.

Sementara itu peniaga manisan S Subramanian berkata premisnya Archana Curry House akan menjual 2,000 hingga 3,000 biji manisan sehari mulai minggu depan.

“Kita jual 15 hingga 20 jenis manisan. Sekarang 200 hingga 300 sahaja. Kita tak boleh jual jumlah yang banyak kerana manisan hanya bertahan seminggu.

“Manisan yang menjadi pilihan antaranya laddu, jilebi dan halwa. Bagaimanapun jumlah jualan tahun ini tidak seperti sebelum ini kerana risau tiada pelanggan,”katanya.

Sambutan Deepavali tahun lalu disambut suram selepas kerajaan mengumumkan larangan pergerakan rentas mukim, daerah atau negeri bagi mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pemilik Archana Curry House, S Subramanian

Upacara keagamaan hanya dibenarkan pada hari pertama sambutan dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat untuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKPB.

Aktiviti ziarah pula maksimum 20 orang terdiri daripada keluarga terdekat bagi kediaman bertanah sementara strata tidak boleh melebihi 10 orang.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ganabatirau : Little India suram, MIC perlu tuntut janji Menteri Umno

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM 24 OKT: Individu yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri tidak mempunyai inisiatif untuk membangunkan kawasan perniagaan Little India di Klang perlu merujuk kepada janji Menteri Umno, Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin, Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata demikian susulan kenyataan Nazri sebelum ini yang memaklumkan sejumlah peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan telah diluluskan untuk membangunkan kawasan itu.

“Kementerian Pelancongan melalui menterinya, Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini pernah turun melawat ke kawasan itu tahun lalu. Beliau memaklumkan peruntukan telah diluluskan di peringkat Persekutuan untuk beri imej baru kepada Little India.

img_2540“Tetapi, sampai sekarang tiada apa. Jadi, individu yang dakwa Kerajaan Negeri tidak buat apa-apa itu perlu tanya menteri dulu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pengerusi Persatuan Usahawan Little India Klang, NP Raman sebelum ini mendakwa Little India akan dibanjiri orang ramai dan keadaan lalu lintas juga sesak, sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sambutan Deepavali.

Katanya, untuk tahun ini tiada sebarang tindakan dibuat Majlis Perbandaran Klang dan Kerajaan Negeri untuk mengindahkan kawasan itu.

Raman yang jug ahli Malaysian Indian Congress (MIC) mendakwa tiada inisiatif dilakukan Kerajaan Negeri untuk mengindahkan Little India, sejak memegang kuasa pada 2008.

Bagaimanapun, Ganabatirau berkata, pelbagai inisiatif telah dibuat termasuk penganjuran ekspo dan sambutan rumah terbuka perayaan Deepavali di kawasan itu.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Dakwaan Little India suram, motif politik MIC

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 OKT: Kerajaan Negeri membidas dakwaan keadaan di kawasan Little India yang dikatakan suram, menjelang sambutan perayaan Deepavali.

Exco Kerajaan Negeri, V Ganabatirau berkata, dakwaan sedemikian adalah bersifat politik demi menjatuhkan imej pentadbiran negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah menarik orang ramai berkunjung ke kawasan itu.

img_2659“Di pihak Kerajaan Negeri, kita telah batalkan karnival juga ekspo di Shah Alam dan dipindahkan di belakang Little India dekat Lorong Tingkat berdekatan Jalan Tengku Kelana.

“Malah pada 21 Oktober lalu, penganjuran karnival tersebut mendapat sambutan yang cukup baik, sekali gus membantu peniaga di kawasan berdekatan.

“Jadi, soal tiada kemeriahan di kawasan itu adalah salah dan jelas bermotifkan politik terutama individu yang mendakwa perkara itu adalah ahli MIC sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Usahawan Little India Klang, NP Raman mendakwa kononnya tiada sebarang hiasan dibuat di sepanjang jalan deretan kedai di kawasan Little India.

Lebih memalukan, Raman yang juga Pengarah Urusan Thangaram Jewellers Sdn Bhd yang terletak di jalan itu mendakwa tiada inisiatif dilakukan Kerajaan Negeri untuk mengindahkan Little India sejak memegang kuasa, pada 2008.

Menyelar dakwaan tersebut, Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Alam Shah mendedahkan, Raman sebelum ini adalah individu sama yang membantah penganjuran karnival ekspo di hadapan jalan utama Little India atas alasan gangguan trafik.

“Mengambil maklum bantahan itu, jadi kita pindahkan gerai karnival di belakang premis perniagaan mereka. Saya tidak fikir ia menimbulkan masalah kerana hampir 10,000 pengunjung turut hadir ketika Dato’ Menteri Besar turun ke kawasan itu.

“Jadi, adakah relevan dikatakan kawasan Little India tidak meriah? Mungkin beliau perlu berfikir sebelum keluarkan kenyataan,” sindirnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ganabatirau mendedahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah memasang lampu hiasan perayaan Deepavali di kawasan berkenaan mengikut kelazimannya.

Bagaimanapun, katanya, untuk tahun ini MPK perlu mematuhi beberapa protokol istana bagi memberi laluan kepada pemasyuran Gelaran DYTM Raja Muda Selangor, baru-baru ini.

Katanya, protokol tersebut perlu dibuat susulan laluan Little India merupakan antara jalan masuk ke istana.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Isu Little India: Keputusan MPK selaras Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan untuk mewartakan nama “Little India” di Jalan Tengku Kelana, Klang, dekat sini.

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz, berkata keputusan itu selari ketetapan dibuat Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan perkara terbabit dilaksanakan.

download“Perkara ini bukan baru dan sudah bermula sejak 2006 lagi, maka MPK tidak akan mempertimbangkannya,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Beliau berkata, tidak setakat Little India mewakili masyarakat India, perkara itu turut merangkumi penggunaan nama merujuk kepada bangsa lain.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Usahawan Little India, Klang, NP Raman menyatakan kekesalan susulan keputusan MPK menolak permohonannya mewartakan nama “Little India” di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta campur tangan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam menyelesaikannya.

“Saya menerima surat daripada Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin bertarikh 9 Jun 2016 yang menyebut permohonan yang dikemukakan oleh persatuan saya untuk mewartakan nama “Little India” tidak dibenarkan.

“Ini tidak seharusnya berlaku memandangkan kerajaan persekutuan bercadang untuk mewartakan 2017 sebagai “Tahun Melawat Klang” dan sudah tiba masanya untuk MPK mewartakan Little India sebagai nama rasmi,” katanya dipetik Bernama.

-AA-

Selangor teruskan pembinaan pintu gerbang Little India, Klang

Pembinaan pintu gerbang yang mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke ‘Little India’ di Jalan Tengku Kelana, Klang akan dibangunkan secepat mungkin. Projek tertangguh kerajaan persekutuan itu akan diteruskan dengan kelulusan peruntukan kerajaan negeri.