Categories
NASIONAL

Bertindak tangani penipuan akademik

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kajian menyeluruh usahasama Penyelidikan Berimpak Tinggi (HIR) antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaya (UM) perlu dilaksanakan ekoran wujud dakwaan penipuan akademik melibatkan institusi pendidikan berkenaan.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming, berkata langkah berkenaan perlu diambil supaya integriti dan kredibiliti intelektual serta martabat universiti tertua itu dapat dikembalikan.

“Mengikut laporan tahunan UM 2014, KPT menyuntik RM590 juta ke dalam program penyelidikan, dengan tambahan dana dari UM, untuk mendanai projek penyelidikan sehingga 2016.

ong-kian-ming“Memandangkan jumlah begitu besar dikhususkan untuk inisiatif berkenaan dan hakikat dua daripada projek penyelidikan berkenaan dikenalpasti sebagai penipuan akademik, adalah menjadi hak orang awam mengetahui perihal mengenainya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bulan lalu, UM mendapati terdapat duplikasi dan manipulasi terhadap angka di dalam Laporan Saintifik dan tiga buah lagi laporan diterbitkan sekumpulan penyelidik universiti itu setelah membuat siasatan terhadap perkara itu.

Ekoran daripada penemuan berkenaan, artikel didakwa diciplak itu ditarik balik daripada jurnal penyelidikan terbabit.

Dr Ong menggesa UM mendedahkan prosiding penuh siasatan dalaman mengenai perkara berkenaan selain mencadangkan supaya perubahan dilakukan terhadap garis panduan sedia ada bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.

“UM juga harus mendedahkan hukuman dikenakan terhadap penyelidik terlibat sebagai peringatan terhadap lain bahawa hukuman setimpal dikenakan jika melakukan penipuan akademik,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.