Categories
NASIONAL

Harga ayam cecah RM10 sekilogram

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 JULAI: Harga ayam seluruh negara didapati naik lebih RM2 sehingga mencecah RM10 sekilogram berbanding harga kawalan RM7.90, sejak Khamis lalu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata harga RM7.90 itu adalah harga kawalan yang di tetapkan kerajaan menjelang Ramadan, namun tamat pada 1 Syawal iaitu 6 Julai lalu.

yusuf fomca“Selepas hari raya, harga akan kembali seperti biasa bergantung kepada pasaran dan permintaan.

“Bagaimanapun, ia tidak sepatutnya naik terlalu tinggi dan penguatkuasa perlu membuat siasatan serta mengambil tindakan ke atas peniaga juga pemborong yang menjual dengan kadar harga yang tidak sepatutnya,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini, dakwaan mengatakan harga ayam turut naik ketika musim hari raya kali ini yang berpunca daripada ayam mengalami wabak bronkitis berjangkit (IB) atau sakit kerongkong.

Mohd Yusuf menyaran kementerian menyiasat terlebih dahulu untuk mendapatkan kesahihan wabak yang didakwa beberapa pihak.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) beranggapan ia hanya andaian semata-mata.

ayam-di-pasarTimbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Ahmad Dahuri Mahmud, berkata itu spekulasi dan kementerian akan mengambil tindakan tegas kepada peruncit yang mengaut keuntungan secara tidak munasabah apatah lagi sempena musim perayaan.

“Kita tidak pasti harga ayam naik sebab apa kerana pihak kita belum menerima sebarang maklum balas daripada mana-mana peruncit berkenaan kenaikan harga ayam.

“Kita tunggu peruncit berikan fakta dan sebab mengapa mereka naikkan harga ayam. Kalau sengaja mereka naikkan, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.