Categories
SELANGOR

Honda tanggung perbelanjaan karier Khairul Idham Pawi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 JUL: Perbelanjaan berkaitan karier Khairul Idham Pawi kini di bawah tanggungan Honda kerana pelumba Moto3 negara itu menandatangani kontrak bersama pasukan motosikal berkenaan.

Boon Siew Honda Sdn Bhd, menjelaskan perbelanjaan terbabit merangkumi tiket penerbangan, penginapan, makanan, gaji bulanan dan lain-lain yang bersangkutan perjalanan kariernya.

“Perancangan perjalanan jangka masa panjang karier Khairul Idham untuk ke tahap lebih tinggi di peringkat antarabangsa juga telah tersedia.

“Boon Siew Honda juga bertindak mendapatkan penajaan peribadi untuknya dengan menawarkan penajaan tambahan seperti menandatangani penajaan bersama RedBull, baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

KHAIRUL IDHAM PAWIIsu mengenai sokongan kewangan Khairul Idham atau SuperKIP yang disuarakan bapanya, Pawi Omar mendapat perhatian ekoran kejayaannya di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix Jerman, 17 Julai lalu.

Meskipun bermula di petak ke-20 tetapi pelumba Honda Asia bertindak menjarakkan diri dan menggagahi trek perlumbaan basah sebelum akhirnya melintasi garis penamat selaku juara.

Sebelum ini, Khairul Idham turut mencatat kejayaan di Grand Prix Argentina, April lalu.

Mengulas lanjut, Boon Siew Honda bagaimanapun menjelaskan tidak terbabit dalam mana-mana kempen atau permohonan sokongan kewangan tambahan berkaitan Khairul Idham oleh pihak keluarganya seperti kos bagi ‘pengiring’.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.