Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Turki Pasca Kudeta beri gambaran sebenar sejarah rampasan kuasa

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 JULAI: Siri Dialog Darul Ehsan (SDDE) bertajuk ‘Turki Pasca Kudeta: Erdogan & Kuasa Rakyat’ berjaya menarik lebih 200 hadirin, petang semalam.

Sambutan luar biasa menyaksikan ada dalam kalangan hadirin terpaksa duduk di tangga bagi mendengar sesi dialog berkenaan.

Bertempat di Auditorium Universiti Selangor (UNISEL), turut kelihatan Exco Negeri, Dr Daroyah Alwi dan Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Mohd Shahrizal Mohd Salleh.

IMG_4595Sesi dialog dimulakan dengan Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) merangkap Naib Canselor UNISEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Beliau mengupas sejarah Turki sebagai negara sekular dan sejarah rampasan kuasa oleh tentera sejak 1960 yang mendukung kuat fahaman sekularisme.

Ia diteruskan Timbalan Setiausaha NGO Islam Dunia (UNIW) merangkap Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Ahmad Azam Ab Rahman yang tertumpu kepada penghuraian faktor kegagalan rampasan kuasa.

Berlangsung dua jam, sesi dialog itu dikelolakan Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Shamsuddin selaku moderator.

SDDE yang dianjurkan dengan kerjasama IDE, UNISEL dan Media Selangor turut disiarkan secara langsung di tv.selangorkini.my dan menarik kira-kira 150 penonton.

Pada 18 Julai lalu, tentera Turki melancarkan cubaan rampasan kuasa di negara itu dengan tentera mengawal jalan utama di Ankara dan Istanbul.

Namun, ia berjaya digagalkan dan Recep Tayyip Erdogan kekal selaku Presiden Turki apabila rakyat negara itu bangkit menentang cubaan berkenaan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.