Categories
NASIONAL

KEADILAN rakan seperjuangan Pakatan konsisten

SHAH ALAM 26 JULAI: KEADILAN merupakan rakan seperjuangan politik yang konsisten, sama ada ketika di dalam Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat mahupun Pakatan Harapan.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata KEADILAN sentiasa mengadakan perbincangan, mendengar, dan bertindak ke atas isu dibangkit rakan pakatan, dan terus konsisten membina Malaysia lebih baik.

Katanya, KEADILAN ingin memperjelas beberapa perkara dibangkitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang mendakwa KEADILAN bertindak unilateral mengadakan beberapa pilihanraya kecil lalu, khususnya Permatang Pauh, Penanti dan Kajang.

PKR“Dengan rasa penuh hormat buat Lim Guan Eng, terdapat beberapa fakta harus saya bangkitkan demi memberi gambaran lebih jelas mengenai isu ini.

“Yang pertama, wujudnya perbezaan cukup besar di antara pilihanraya kecil (PRK) melibatkan satu kerusi dan sebuah pilihanraya negeri (PRN): PRK melibatkan satu kerusi dipegang satu parti politik manakala PRN pula – seperti dalam kes Pulau Pinang – melibatkan 40 kerusi DUN mempunyai implikasi lebih luas dan mendatangkan kesan kepada lebih daripada satu parti politik.

“Ketiga-tiga contoh dibangkitkan Lim Guan Eng adalah PRK yang melibatkan satu kerusi di mana penyandangnya adalah KEADILAN, dan implikasi serta-merta adalah kepada KEADILAN sendiri.

“Berkenaan Permatang Pauh, sama ada bagi PRK pada 2008 atau 2015, ianya berpaksikan penganiayaan politik terhadap Ketua Umum KEADILAN, DS Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan media.

Fahmi berkata pada 2008, oleh kerana Pilihanraya Umum diadakan beberapa bulan sebelum Anwar layak bertanding selepas bebas dari penjara, maka PRK tersebut bagi membolehkan beliau kembali ke Parlimen dan memimpin Pembangkang yang semakin kuat selepas PRU 2008;

Manakala pada 2015, ia adalah kerana Anwar sekali lagi menjadi mangsa politik zalim mengakibatkan beliau dipenjara sekali lagi sebagai tahanan politik nombor satu negara.

Mengenai PRK Penanti pada 2009, KEADILAN sebenarnya bertindak di atas kebimbangan dibangkit pimpinan DAP Pulau Pinang mengenai prestasi wakil rakyat tersebut.

“Dan mengenai PRK Kajang pada 2014 pula, beberapa siri rundingan, mesyuarat dan konsultasi bersama pimpinan DAP serta pimpinan Pakatan Rakyat yang lain telah diadakan.

“Selepas rasional PRK tersebut dibentang, pimpinan DAP menyokong usaha untuk memperkukuh pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.