Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Liga Super: Selangor belasah PDRM 2-1

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 JULAI: Selangor berjaya mengatasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini, hasil jaringan saat akhir pemain import baru, Ugo Ukah.

Kejayaan itu melegakan, namun pemain terpaksa mengerah kudrat hingga ke minit terakhir bagi merealisasikan hasrat The Red Giants mengutip tiga mata dalam perlawanan Liga Super itu.

sel-pdrm 2PDRM mencemaskan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan apabila mendahului pada minit ke-28 melalui penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula.

De Paula menyudahkan hantaran Safuan Baharuddin dengan satu tandukan kencang melepasi kawalan pengaja gol Selangor, Norazlan Razali.

Ketinggalan satu gol, Selangor menggandakan asakan dengan serangan balas berterusan, namun hampa akibat kegagalan menjaringkan gol.

The Red Giants memulakan babak kedua dengan serangan pantas menerusi Ahmad Hazwan Bakri tetapi hampa apabila jaringannya tidak dikira akibat berada dalam kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, Ahmad Hazwan menceriakan pasukan dan penyokong enam minit selepas itu dengan gol penyamaan dihasilkannya menewaskan penjaga gol The Cops, Mohd Haziq, menerusi satu sepakan tepat ke jaring.

sel-pdrm 5Gol terbabit meniupkan semangat Merah Kuning dengan serangan digandakan tetapi skuad kendalian Fauzi Pilus tidak memberi laluan mudah kepada Selangor.

Seperti mana perlawanan mengalahkan Kuala Lumpur dalam Piala Malaysia Selasa lalu, penyandang juara itu berjuang hingga ke minit akhir dan gol kemenangan hadir menerusi tolakan pantas Ukah (m90) selepas menerima bola daripada sepakan sudut Nazmi Faiz Mansor.

Dalam perlawanan itu, Zainal mengeluarkan Patrick Ronaldinho Wleh (m70) dan digantikan Hafiz Kamal apabila dilihat kurang berkesan.

Dua pertukaran lain, R Gopinathan (m60) mengambil tempat Andik Vermanshah manakala Adam Nor Azlin (m83) untuk S Veenod.

KEPUTUSAN LAIN:

FELDA UNITED 2 – 1 PERAK
JDT 5 – 0 KEDAH
PAHANG 2 – 0 SARAWAK
T-TEAM 3 – 4 PULAU PINANG

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.