Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Masalah ekonomi dan kurang didikan agama punca keganasan rumah tangga

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Negeri sentiasa mengambil serius akan isu yang mendepani wanita di Selangor terutama yang mengancam kesejahteraan golongan itu dan keluarga.

Exco Kebajikan, Dr Daroyah Alwi, berkata punca isu keganasan rumah tangga semakin meningkat disebabkan masalah domestik dan ekonomi yang menjadi tekanan selain boleh mengakibatkan hilang pertimbangan berfikiran secara rasional.

YB Daroyah“Tekanan ini yang menjadi masalah utama dan mengakibatkan wanita dan kanak-kanak sering kali menjadi mangsa kaum lelaki melepaskan geram.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita sudah melaksanakan pelbagai program pembangunan dan kesejahteraan keluarga seperti program taklimat keselamatan juga pembelaan wanita serta program advokasi.

“Masyarakat sekeliling dan pasangan itu sendiri perlu bersikap terbuka selain berbincang sesama sendiri dan berfikiran matang bagi menyelesaikan sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Hal Ehwal Wanita, Fadlina Sidek, berkata kesedaran agama yang kurang juga menjadi salah satu punca berlaku keganasan rumah tangga.

“Banyak kes yang berlaku apabila pasangan muda gagal mendapat bantuan kaunseling ketika menghadapi tekanan hidup dengan kos tinggi dan beban kewangan yang banyak.

wanita“Masyarakagt harus dididik bahawa keganasan rumah tangga adalah jenayah yang harus dibanteras. Advokasi dan talian bantuan harus diperluaskan dengan bantuan orang ramai kerana kebanyakan mangsa yang mengalaminya hanya berdiamkan diri,” katanya.

Katanya, orang ramai yang memerlukan khidmat bantuan nasihat, perlindungan dan kaunseling boleh hubungi talian 019-3567372.

Terdahulu, merujuk Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, kes keganasan rumah tangga meningkat setiap bulan iaitu 30 peratus atau kira-kira 150 kes.

Kebanyakan kes yang dilaporkan adalah kes rogol, penderaan terhadap kanak-kanak, cabul dan liwat.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.