Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat Malaysia di penjara boleh mengundi

SHAH ALAM, 15 JULAI: Rakyat Malaysia yang ditahan di penjara mempunyai hak untuk mengundi namun perlu memohon kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Penjara jika mahu menggunakan hak terbabit.

Dalam perbicaraan kes Ketua Umum KEADILAN hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua yang lain berhubung dakwaan beliau dinafikan hak untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, tahun lalu.

AnwarPeguam Anwar, N Surendran, berkata walaupun mahkamah menolak permohonan terbabit tetapi keputusan itu masih penting kerana ia bermakna ribuan tahanan boleh menggunakan hak mereka untuk mengundi.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang membuat keputusan berkenaan dalam kamar turut memerintahkan bekas ketua pembangkang itu untuk membayar kos RM5,000.

Anwar menamakan SPR, bekas pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan kerajaan sebagai responden.

Memetik MalaysiaKini, Anwar selaku plaintif mendakwa sudah mendaftar sebagai pengundi sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara berkenaan terhadapnya, pada 10 Februari 2015.

Anwar menuntut daripada mahkamah perisytiharan di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bahawa beliau dibenarkan mengundi.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjit Singh memaklumkan bahawa SPR tidak mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan Anwar yang kini dipenjarakan daripada menjalankan hak beliau sebagai pengundi.

Katanya, mahkamah memutuskan bahawa Anwar perlu mengemukakan permohonan kepada ketua pengarah Jabatan Penjara supaya beliau boleh dibawa keluar dari penjara untuk mengundi.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.