Categories
SELANGOR

MBPJ belanja RM30 juta turap semula jalan di Petaling Jaya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM30 juta bagi Projek Penurapan Semula Jalan di sekitar Petaling Jaya yang membabitkan 31 projek sepanjang tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata 17 projek mencapai status siap, 13 sedang dalam pelaksanaan dan satu dalam proses penawaran semula daripada jumlah keseluruhan itu.

“Pelaksanaan lokasi projek ini dijalankan di sebahagian Jalan Universiti, Jalan Gasing, Persiaran Cemara dan Persiaran Industri Sri Damansara, Persiaran Mahogani dan Kota Damansara.

MBPJ“Selain itu, ia turut melibatkan kawasan SS1, SS3, SS21, SS26, Seksyen 20, Seksyen 21, PJU 1, PJS 1, PJS 2 dan PJS 6 yang merangkumi skop kerja menurap jalan secara ‘mill dan pave’ serta menurap laluan masuk premis,” katanya.

Mohd Azizi berkata, MBPJ akan mengeluarkan notis pemberitahuan dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum pelaksanaan kerja dilakukan.

Selain itu, MBPJ akan mengadakan semakan dan ujian terhadap projek yang dijalankan bagi memastikan kontraktor mematuhi spesifikasi ditetapkan.

“Kita akan melakukan Ujian Ketebalan (Coring Test) bagi menyemak ketebalan lapisan premis yang dibuat. Penurapan semula jalan perlu dibuat sekiranya ketebalan tidak mencukupi.

“MBPJ juga bercadang membangunkan Sistem Pengurusan Turapan selepas mengetahui kepentingan untuk mendapatkan data turapan yang lengkap bagi menjalankan kerja penyelenggaraan jalan.

“Antara data diperlukan dalam sistem ini adalah lokasi turapan jalan, panjang jalan, keadaan turapan dari segi kekuatan dan jangka hayat turapan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.