Categories
NASIONAL

Gagal kekang keganasan, Pakatan seru wujudkan jawatankuasa rentasi parti

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 12 JULAI: Kerajaan Persekutuan gagal mengekang ancaman keganasan di negara ini walaupun memperkenalkan pelbagai akta seperti Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Security Offences (Special Measures) Act (SOSMA).

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata Pakatan Harapan menyeru supaya diadakan satu jawatankuasa merentasi semua parti bagi membincangkan isu ancaman keganasan secara bersama berbanding tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang lebih berminat menggunakan akta itu bagi menyekat kebebasan rakyat.

PKR02“Majlis Presiden Pakatan Harapan memandang berat beberapa kejadian keganasan yang disabitkan dengan Daulah Islamiyah (IS atau Daesh).

“Ini bermakna walaupun Datuk Seri Najib menggunakan ancaman keganasan sebagai alasan untuk memperkenalkan pelbagai undang-undang yang menyekat hak kebebasan rakyat seperti POTA, Akta Hasutan dan SOSMA, pentadbiran beliau masih gagal mengekang ancaman ini.

“Oleh itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan menekankan perlunya satu jawatankuasa merentas parti berkenaan ancaman keganasan ditubuhkan supaya pimpinan pembangkang juga mempunyai peranan menangani ancaman bersama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika menyentuh usaha mengukuhkan hubungan antara kaum di negara ini, Dr Wan Azizah melahirkan keyakinan bahawa Pakatan gabungan politik terbaik bagi mengukuhkan persaudaraan di antara pelbagai kaum di negara ini.

“Mengambil kira pelbagai usaha untuk memecah belahkan perpaduan kaum kebelakangan ini termasuk cubaan melabel bukan Islam sebagai kafir harbi, Majlis Presiden Pakatan akan meneruskan program yang meningkatkan persefahaman rakyat berasaskan rasa hormat kepada pegangan dan amalan setiap kaum di negara ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.