OLEH SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 23 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan tujuh kompuan terhadap premis makanan yang gagal mematuhi tahap kebersihan ditetapkan MPK dalam operasi bersepadu 21 Julai lalu.
Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi, berkata operasi itu dijalankan berdasarkan aduan orang ramai yang kurang berpuas hati dengan keadaan gerai yang kotor.
“Kita menetapkan setiap premis harus ada satu tong sampah bersaiz 2.4 liter bagi membolehkan pemilik mengurus sampah dengan baik dan teratur, namun gagal dilaksanakan peniaga.
“Selain itu, pekerjanya juga didapati gagal mematuhi syarat dan peraturan berniaga mendapatkan suntikan anti demam kepialu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, selain kompaun pemilik premis juga boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil Establishment Makanan MPK 2007 atas kesalahan tersebut.
“Operasi seumpama ini diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemilik premis patuh kepada peraturan majlis,” katanya.
Tambahnya lagi, bermula September, MPK menguatkuasakan penutupan premis makanan yang kebersihannya berada di bawah tahap 50 peratus dan penutupan dibuat selama tempoh 14 hari,” katanya.
Operasi diketuai Ketua Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan yang juga Penolong Pegawai Kesihatan MPK, Mazlan Abd Gany.
EZY