Categories
NASIONAL

Naik caj parkir tambah beban rakyat, tak wajar dilaksana

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kenaikan caj kawasan parkir milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menambah bebanan perbelanjaan bulanan rakyat terutama bagi mereka yang sering berurusan di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata perkara itu sepatutnya dielakkan dan kerajaan perlu memikirkan alternatif lain tanpa terus membebankan pemilik kenderaan dengan caj yang membebankan.

“Kami merayu supaya DBKL menyemak semula keputusan mendadak ini. Kenaikan parkir ini perlu dilaksanakan secara beransur-ansur.

“Kenaikan (caj) ini sudah tentu menjadi bebanan kepada warga Kuala Lumpur,” katanya kepada SelangorKini.

Parkir DBKLKenaikan caj parkir yang bermula hari ini menyaksikan kenaikan hampir 150 peratus antaranya dikenakan di Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.

Caj tempat letak kenderaan setiap jam di pusat bandar komersial pula dinaikkan daripada 80 sen sejam kepada RM2 untuk jam yang pertama.

Kadar caj juga dinaikkan kepada RM3 untuk jam kedua dan RM3 untuk jam berikutnya.

DBKL memiliki sejumlah 46,100 ruang letak kereta bermeter di seluruh bandar, dengan 22 peratus atau 9,914 terletak di kawasan CBD.

Bagaimanapun, tempoh parkir maksimum dua jam, seperti diumumkan sebelum ini oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan tidak akan dilaksanakan.

DBKL melantik Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), cabang kebajikan Kementerian Wilayah Persekutuan, untuk menguruskan sistem letak kereta di bandar ini pada 2015.

YWP memperkenalkan sistem letak kereta baru dan maju dikenali sebagai sistem CCP (City Car Park).

Di bawah perjanjian itu, YWP akan membayar 35 peratus atau RM600,000 daripada pendapatan kasar kutipan letak kereta kepada DBKL setiap bulan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.