Categories
NASIONAL

Pakatan serah memorandum desak siasat pembunuhan Bill Kayong

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 4 JULAI : Pimpinan Pakatan hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi mendesak siasatan menyeluruh susulan kes pembunuhan aktivis, Bill Kayong.

Serahan memorandum diketuai Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo kepada wakil PDRM, ASP Mohd Naswan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pagi tadi.

Nurul Izzah dalam sidang medianya berkata, polis perlu mengambil perhatian berkenaan kes terbabit bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

image“Sudah wujud amalan samseng di Miri dengan enam laporan polis dibuat membabitkan ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen dan aktivis.

“Justeru, kita memilih untuk hadir ke Bukit Aman bagi menyatakan betapa pentingnya perihal situasi dan ancaman terhadap masyarakat dan pejuang di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Michael Teo berkata, Jawatankuasa Khas ditubuhkan polis sebelum ini perlu diperhebatkan bagi membuktikan komitmen mereka menyelesaikan kes terbabit.

“Kami amat kesal walaupun sudah membuat laporan polis terhadap ancaman diterima sebelum ini, namun sehingga kejadian berlaku barulah ada tangkapan dibuat.

“Kami berharap pihak polis boleh menjalankan siasatan dengan telus untuk mendakwa individu bertanggungjawab di atas pembunuhan ini ke muka pengadilan,” katanya.

Hadir sama, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Dr Xavier Jeyakumar; Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin; Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil; wakil DAP Sarawak, Alan Ling dan dan beberapa aktivis lain.

Michael sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh selain dicederakan individu tidak dikenali di hadapan pejabatnya di Miri.

Susulan kejadian itu, beberapa laporan polis dibuat, namun tiada tangkapan dibuat polis Sarawak sehingga kini.

Bill Kayong yang juga Setiausaha kepada Michael ditembak mati pada 21 Jun lalu ketika berada dalam kenderaannya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.