Categories
NASIONAL

Suspek bergelar ‘Datuk’ didakwa kes bunuh Bill Kayong

MIRI 14 DIS: Seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ didakwa di Mahkamah Majistret Miri di sini, hari ini berhubung pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Bill Kayong pada 21 Jun lalu.

Datuk Stephen Lee Chee Kiang, 45, didakwa bersama-sama pembantu peribadinya Chin Wui Ching, 50, dan pemilik pub, Lie Chang Loon, 37, kerana bersubahat dengan pengawal kelab malam (bouncer) Mohamad Fitri Pauzi, 29, dalam pembunuhan itu.

Lee didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama dan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan, lapor BERNAMA.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Jun 2016 kira-kira jam 8.20 pagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket di persimpangan Jalan Kuala Baram.

Tiada pengakuan dicatatkan dan Lee dilihat menganggukkan kepala apabila jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Zuraini kemudian menetapkan 30 Disember untuk kes itu disebut semula berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzila Ishak.

Fadzila memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan masih menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177 A Kanun Tatacara Jenayah.

Sehingga kini, empat individu telahpun didakwa, termasuk Lee pada hari ini, atas pembunuhan Bill Kayong.

Tertuduh pertama Mohamad Fitri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bill, 43, yang nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, manakala tertuduh lain didakwa bersubahat dan membunuh mengikut Seksyen 109 dan 302 Kanun Keseksaan.

Mohamad Fitri, Lie dan Chin mengaku tidak bersalah ketika mereka dihadapkan di Mahkamah Tinggi Miri pada 25 Nov dan mahkamah menetapkan sembilan hari untuk perbicaraan bermula 3 Januari 2017.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dua suspek bunuh Bill Kayong dihadap ke mahkamah

SHAH ALAM, 17 JULAI: Dua lelaki yang ditahan berhubung pembunuhan Setiausaha KEADILAN cawangan Miri, Bill Kayong dihadapkan di Mahkamah Majistret Miri, hari ini.

Mohamad Fitri Pauzi, 29, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bill, 43, di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasaraya E-Mart Jalan Miri-Bintulu, kira-kira jam 8.20 pagi, pada 21 Jun lalu.

Tertuduh kedua, Lie Chang Loon, 37, didakwa bersubahat dengan Mohamad Fitri mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

BillKayongKedua-dua tertuduh kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan kepada mereka masing-masing dalam bahasa Malaysia dan Mandarin oleh penterjemah mahkamah. Tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Lovely Natasha Charles menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Peguam Kanan Persekutuan Muhamad Iskandar Ahmad menjalankan pendakwaan manakala peguam Ranbhir Singh Sangha mewakili kedua-dua tertuduh dan peguam Abun Sui pula mewakili keluarga mangsa.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M M Sree, berkata empat suspek kes berkenaan yang ditahan sebelum itu akan direman selama 21 hari mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Beliau berkata, polis masih memburu tiga lagi suspek termasuk dalang pembunuhan itu.

Terdahulu, semua lapan suspek yang memakai pakaian lokap tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi diiringi kawalan ketat polis dengan senjata berat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Dua daripada suspek itu dibebaskan tanpa syarat, empat ditahan di bawah POCA manakala seorang didakwa membunuh dan seorang lagi didakwa bersubahat serta membunuh.

Lebih 20 pegawai polis termasuk Timbalan Ketua Polis Miri, Supt Stanley Johnathan Ringgit memantau keadaan keselamatan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Polis tahan suspek kelapan kes bunuh Bill Kayong

SHAH ALAM, 7 JULAI: Pasukan petugas khas polis memberkas suspek kelapan berkenaan siasatan kes Setiausaha Cabang PKR Miri, Bill Kayong yang ditembak mati di persimpangan jalan di Lutong, 21 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar MM Sree Shunmugam, berkata suspek lelaki berusia 28 tahun itu ditangkap pada jam 10.30 malam tadi di sebuah pusat hiburan di Piasau Utara 1, di Miri.

BillKayong“Pasukan petugas percaya suspek ini dapat memberikan lebih banyak maklumat berkenaan pembunuhan itu, dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Miri hari ini untuk direman,” katanya memetik Bernama.

Beliau berkata, sejak pasukan petugas itu dibentuk susulan kes pembunuhan terbabit, lapan suspek ditahan setakat ini dengan tujuh suspek masih dalam tahanan termasuk yang ditahan malam tadi.

Seorang daripada lapan suspek itu dibebaskan selepas permohonan untuk tahanan remannya ditolak Mahkamah Majistret Miri.

Beliau berkata, pasukan penyiasat itu akan memohon lanjutan tahanan reman bagi enam suspek yang diberkas pada awalnya kerana siasatan masih belum lagi selesai.

-AA-

Categories
NASIONAL

Pakatan serah memorandum desak siasat pembunuhan Bill Kayong

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 4 JULAI : Pimpinan Pakatan hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi mendesak siasatan menyeluruh susulan kes pembunuhan aktivis, Bill Kayong.

Serahan memorandum diketuai Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo kepada wakil PDRM, ASP Mohd Naswan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pagi tadi.

Nurul Izzah dalam sidang medianya berkata, polis perlu mengambil perhatian berkenaan kes terbabit bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

image“Sudah wujud amalan samseng di Miri dengan enam laporan polis dibuat membabitkan ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen dan aktivis.

“Justeru, kita memilih untuk hadir ke Bukit Aman bagi menyatakan betapa pentingnya perihal situasi dan ancaman terhadap masyarakat dan pejuang di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Michael Teo berkata, Jawatankuasa Khas ditubuhkan polis sebelum ini perlu diperhebatkan bagi membuktikan komitmen mereka menyelesaikan kes terbabit.

“Kami amat kesal walaupun sudah membuat laporan polis terhadap ancaman diterima sebelum ini, namun sehingga kejadian berlaku barulah ada tangkapan dibuat.

“Kami berharap pihak polis boleh menjalankan siasatan dengan telus untuk mendakwa individu bertanggungjawab di atas pembunuhan ini ke muka pengadilan,” katanya.

Hadir sama, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Dr Xavier Jeyakumar; Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin; Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil; wakil DAP Sarawak, Alan Ling dan dan beberapa aktivis lain.

Michael sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh selain dicederakan individu tidak dikenali di hadapan pejabatnya di Miri.

Susulan kejadian itu, beberapa laporan polis dibuat, namun tiada tangkapan dibuat polis Sarawak sehingga kini.

Bill Kayong yang juga Setiausaha kepada Michael ditembak mati pada 21 Jun lalu ketika berada dalam kenderaannya.

-AA-

Categories
SELANGOR

MB: Seret pembunuh Bill Kayong ke muka pengadilan

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JUN: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menggesa polis menjalankan siasatan berhubung aktivis hak tanah adat, mendiang Bill Kayong yang ditembak mati pagi tadi.

Dalam laman Facebooknya, Mohamed Azmin berkata mereka yang terbabit dalam pembunuhan itu perlu diseret ke muka pengadilan dengan segera.

BillKayong“Saya menggesa polis menyiasat kejadian ini dan penjenayah yang bertanggungjawab diseret ke muka pengadilan dengan segera.

“Takziah buat keluarga mendiang Bill Kayong, mantan calon KEADILAN bagi kerusi N17 Bekenu dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lalu,” tulisnya yang juga Timbalan Presiden KEADILAN.

Mendiang yang dikenali sebagai penggerak sosial dan aktivis hak tanah adat dilaporkan mati ditembak di lampu isyarat di Kuala Baram, 9 pagi ini sewaktu memandu kenderaan dengan logo parti.

Mengikut laporan awal, beliau mati ditembak di lampu trafik berhampiran Emart One-Stop Shopping Mall di Senadin, Miri, di dalam kenderaan pacuan empat roda yang ada lambang KEADILAN.

Bill Kayong seorang aktivis dan anggota KEADILAN yang komited kepada agenda Reformasi.

Beliau sering mengangkat isu dekat di hati rakyat Sarawak, termasuklah isu hak tanah adat yang beliau kerap bangkitkan sewaktu Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu.

Pada ketika ini, motif jenayah pembunuhan ini belum lagi dikenalpasti.

EZY

Categories
NASIONAL

Tangkap segera pembunuh kejam Bill Kayong

SHAH ALAM 21 JUN: KEADILAN menggesa agar mereka yang terlibat dalam pembunuhan kejam mantan calon KEADILAN DUN Bekenu, Bill Kayong segera dikesan, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata KEADILAN juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga saudara Kayong.

“Semoga keluarga mendiang terus sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan yang amat mencabar ini,” kata Wan Azizah dalam kenyataan media.

ClcXka6UYAAPau0Mengikut laporan awal, beliau mati ditembak di lampu trafik berhampiran Emart One-Stop Shopping Mall di Senadin, Miri, di dalam kenderaan pacuan empat roda yang ada lambang KEADILAN.

Bill Kayong seorang aktivis dan anggota KEADILAN yang komited kepada agenda Reformasi.

Beliau sering mengangkat isu dekat di hati rakyat Sarawak, termasuklah isu hak tanah adat yang beliau kerap bangkitkan sewaktu Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu.

Pada ketika ini, motif jenayah pembunuhan ini belum lagi dikenalpasti.

Walau bagaimanapun, KEADILAN menggesa semua pihak untuk bersabar dan menunggu kenyataan penuh dari pihak Polis.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

KEADILAN gesa polis tangkap segera pembunuh kejam Bill Kayong

KEADILAN dikejutkan dengan kes pembunuhan saudara Bill Kayong, setiausaha politik YB Dr Michael Teoh, Ahli Parlimen Miri, dan mantan calon KEADILAN bagi kerusi N71 Bekenu pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 yang lalu.

Mengikut laporan awal, beliau telah mati ditembak di lampu trafik berhampiran Emart One-Stop Shopping Mall di Senadin, Miri, di dalam kenderaan pacuan empat roda yang ada lambang KEADILAN.

Saudara Bill Kayong seorang aktivis dan anggota KEADILAN yang komited kepada agenda Reformasi. Beliau sering mengangkat isu-isu yang dekat di hati rakyat Sarawak, termasuklah isu hak tanah adat yang beliau kerap bangkitkan sewaktu PRN yang lalu.

Pada ketika ini, motif jenayah pembunuhan ini belum lagi dikenalpasti. Walau bagaimanapun, KEADILAN menggesa semua pihak untuk bersabar dan menunggu kenyataan penuh dari pihak Polis Di-Raja Malaysia.

KEADILAN turut menggesa agar mereka yang terlibat dalam pembunuhan kejam ini segera dikesan, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Bagi pihak keluarga besar KEADILAN, kami merakamkan ucapan takziah buat keluarga saudara Bill Kayong. Semoga keluarga mendiang terus sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan yang amat mencabar ini.

DS Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN

DS Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN