Categories
SELANGOR

Penyokong harap The Red Giants terus cemerlang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 JULAI: Peningkatan prestasi perlu dipamerkan Selangor dalam pusingan kedua Liga Super selain saingan Piala Malaysia bermula Julai ini.

Persembahan cemerlang The Red Giants ditagih peminat supaya skuad kendalian Zainal Abdin Hassan itu tidak terus ketinggalan kepada pasukan lain terutama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United yang kini mengatasinya.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Mohd Haniff Manzoor, berkata sebagai penyandang juara Piala Malaysia, langkah membawa masuk pemain baru mungkin perlu dilakukan pengurusan jika tindakan itu demi kebaikan skuad Merah Kuning.

HANIF“Mungkin ada kelemahan perlukan penambahbaikan bagi meningkatkan persembahan Selangor dalam menghadapi kempen pusingan kedua Liga Super serta Piala Malaysia, maka tentunya pengurusan sudah membuat perancangan terhadap perkara ini.

“Dirasakan beberapa bahagian seperti pertahanan dan hadapan harus dilakukan pembaharuan tetapi kita yakin jurulatih sudah mengenal pastinya.

“Kita sebagai peminat akan menyokong tindakan dibuat pengurusan supaya persembahan Selangor tidak terjejas dan cemerlang,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam kedudukan liga, Selangor ketika ini menduduki tangga ketiga dengan 22 mata di belakang JDT (30) dan Felda United (28).

Berkenaan isu perpindahan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, beliau berkata, perbincangan secara profesional antara Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) perlu dijalankan bagi mencapai keputusan memuaskan antara kedua pihak.

Katanya, penyelesaian segera wajar dilakukan terhadap isu terbabit yang bermula sejak awal musim.

“Secara peribadi, saya berpandangan Azrif perlu dilepaskan jika dia tidak lagi berminat untuk mewakili Selangor.

“Bagaimanapun perpindahan perlu dilakukan berpandukan kepada perjanjian kontrak dan syarat ditetapkan FAS,” katanya.

RED-GIANTS-660x471Namun, Mohd Haniff yakin isu Azrif tidak akan menjejaskan keseluruhan persembahan The Red Giants ekoran skuad itu memiliki barisan pemain pelapis untuk diketengahkan jika pemain pertahanan kebangsaan itu berhijrah ke JDT.

Sebelum ini, Pengurus pasukan, Amirudin Shari, berkata sungguhpun menerima tawaran JDT tetapi Red Giants membuat ketetapan Azrif mesti dikekalkan untuk menghadapi saingan mencabar Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

“Kita sedang menunggu tawaran daripada JDT tetapi setakat ini kita mempertahankan pemain itu kerana itu hak kita.

“Tidak mudah untuk kita melepaskan pemain tanpa mendapat gantian yang baik, namun keputusan setakat ini tidak membenarkan Azrif berhijrah kecuali ada tawaran atau pilihan lebih baik,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.