Categories
SELANGOR SUKANKINI

Red Giants sasar tiga mata lawan KL malam ini

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 JULAI: The Red Giants menaruh harapan tinggi memulakan kempen Piala Malaysia dengan tiga mata penuh ketika menentang Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini.

Walaupun berdepan pasukan Liga Perdana namun Selangor tidak memandang rendah cabaran The Hawks yang mampu menghadirkan kejutan buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu.

Selaku penyandang juara, Zainal tentu merangka strategi mantap bagi mencapai sasaran bagi memudahkan laluan Selangor ke pusingan seterusnya dalam usaha mengekalkan gelaran berprestij itu.

Zainal Abidin“Harapan kita sangat tinggi dalam menghadapi perlawanan ini dan tidak memandang mudah cabaran Kuala Lumpur. Matlamat kita untuk menang dan memungut tiga mata,” katanya.

Berhubung perlawanan malam ini, Zainal berkata, The Red Giants akan turun tanpa kelibat ketua pasukan, Mohd Shahrom Kalam dan pemain tengah, Saiful Ridzuwan Selamat akibat kecederaan.

“Hanya Shahrom dan Saiful tidak dapat diturunkan tetapi pemain lain tidak cedera, malahan Azrif Nasrulhaq juga masih dalam skuad ini,” katanya menyentuh kedudukan pemain itu yang dikaitkan penghijrahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mantan pemain kebangsaan itu juga menjelaskan setakat ini Selangor hanya menandatangani seorang pemain import baru dari Nigeria, Ugo Ukah, 32, menggantikan Robert Cornthwaite.

Selangor menerusi laman sosial Facebooknya, FA Selangor, menjelaskan sudah menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain kelahiran Itali itu daripada Persatuan Bolasepak Greece.

Kini hanya menunggu kelulusan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi membolehkannya diturunkan menentang Kuala Lumpur, malam ini.

Dalam pusingan awal ini, The Red Giants berada dalam kumpulan B bersama Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur dengan dua pasukan teratas layak ke peringkat suku akhir.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.