Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Makna raya si pemetik strawberi Malaysia di Australia

OLEH NAZLI IBRAHIM

Sambutan Aidilfitri tentunya tidak akan lengkap sekiranya tidak dapat bermaaf-maafan dengan orang tua, adik-beradik dan saudara-mara pada pagi Syawal.

Bagaimanapun, itulah yang terpaksa dihadapi sekumpulan kira-kira 15 anak muda Malaysia yang bertugas sebagai pemetik strawberi di Carboolture, Brisbane City di Queensland, Australia tatkala meraikan Aidilfitri kali ini di perantauan dengan suasana yang sangat asing bagi mereka.

Muidz dan Safarin (baju purple) berpelukan depan sekaliNamun, demi impian inginkan kehidupan keluarga di tanah air dan masa hadapan sendiri yang lebih baik selepas pulang nanti, anak-anak muda ini cekal berhadapan dugaan berhari raya di perantauan.

Bagi Muhammad Muidz Aminuddin, 27 dan sepupunya Mohd Safarin Nordin, 30 yang berhijrah ke Australia kira-kira enam bulan lalu, ketiadaan keluarga di sisi pada pagi Syawal sesuatu yang amat menyentuh hati.

“Pertama kali beraya di sini, betul-betul rindu pada keluarga. Berjauhan dengan keluarga beribu batu memang rasa lain dengan duduk di Malaysia.

“Bila ibu, ayah dan adik-beradik dekat kadang-kadang kita tak kisah tetapi bila berjauhan begini dapat rasakan betapa mereka penting dalam hidup tetapi mujurlah ada juga kawan-kawan Malaysia yang dianggap macam ahli keluarga. Tanpa mereka memang tak rasalah suasana raya,” katanya kepada SelangorKini.

Bercerita lanjut berkenaan sambutan Aidilfitri bersama ‘keluarga’ barunya itu, Muhammad Muidz memberitahu, beliau agak bernasib baik kerana diberikan cuti selama dua hari untuk meraikan Aidilfitri berbanding beberapa rakan Islam daripada negara lain yang terpaksa bekerja.

Sekelip mata ketupat licin

Menyentuh persiapan raya di sana, Muhammad Muidz berkata, beliau dan rakan-rakan senegara berkumpul di satu tempat untuk bergotong-royong memasak juadah hari raya.

IMG-20160711-WA0014Antara juadah yang disediakan adalah ayam masak merah, kari kambing, dalca darat, bihun soto, rendang daging, kuah kacang dan ketupat.

“Mencari bahan untuk memasak makanan Malaysia memang agak susah, cuma boleh didapati di kedai yang dimiliki orang Asia sahaja atau ‘Asia Shop’ dan ‘Hi-Mart’. Ketupat paling susah nak dapat dan kebetulan kami dapat sedikit sahaja, sekejap sahaja dah licin,” katanya.

Pada hari raya kedua pula, Muhammad Muidz dan rakan-rakan senegara menghabiskan masa bersiar-siar di bandar Brisbane dan menikmati makanan Malaysia di Restoren Little Malaysia yang dimiliki seorang usahawan Malaysia.

Apabila ditanya sampai bila mahu menetap di Australia, Muhammad Muidz yang berkerja sebagai jurufoto bebas sebelum berhijrah menyatakan beliau mempunyai impian ingin menerokai peluang sebagai jurufoto profesional di Australia.

“Tak tahulah berapa lama nak tinggal di sini sebab saya ada matlamat iaitu ingin mengembangkan karier sebagai jurufoto profesional di sini sebab itulah datang ke sini untuk mencari tapak dahulu.

“Saya tahu memang tidak mudah untuk mencapai cita-cita saya itu tetapi percaya tiada yang mustahil, asalkan berusaha, tidak berputus asa dan banyak berdoa” ujarnya lagi.

IMG-20160710-WA0029Sama seperti Muhammad Muidz, Mohd Safarin turut merasa kejanggalan beraya di perantauan dengan cara kehidupan yang amat berbeza berbanding di Malaysia.

“Sedih bila terkenangkan keluarga di Malaysia tetapi agak bertuah juga sebab dapat menyewa bersama rakan-rakan senegara. Malam raya, kita masak sama-sama juadah raya. Ada juga sedikit kuih raya yang dihantar keluarga di Malaysia. Terubatlah sikit kerinduan pada kampung halaman. Tiada yang istimewa tetapi sangat bermakna.

“Pada pagi raya, kami bergegas ke Masjid Taqwah di Brisbane City kira-kira 40 minit perjalanan untuk bersembahyang raya. Alhamdullilah, dapat juga bertakbir dan sembahyang raya bersama.

“Kemudian balik rumah untuk menikmati juadah yang kami masak malam tadi. Ada yang membuat panggilan video ke keluarga di Malaysia, yang menangis pun ada. Sehari itu sibuk melayan tetamu yang datang. Walaupun ala kadar, tetapi dapat juga merasa sedikit kemeriah raya,” kata Mohd Safarin yang berhasrat memiliki perniagaannya sendiri suatu hari nanti.

Bagi Muhammad Muidz dan Muhammad Fahrin menjelang hari raya kedua, walaupun secebis kemeriahan raya yang dirasai semalam sudah tidak lagi dirasai mereka, namun tetap meninggalkan bekas di hati masing-masing, lebih-lebih lagi apabila terkenangkan keluarga yang jauh ditinggalkan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.