Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sambutan hebat, Kejohanan Piala Foo Kok Keong ditambah baik

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 JULAI: Memasuki edisi kelima, Kejohanan Badminton Jemputan Antarabangsa Piala Foo Kok Keong 2016 semakin popular dan mendapat sambutan menggalakkan menerusi penyertaan pasukan tempatan serta luar negara.

Berikutan perkembangan positif itu, Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata perbincangan bersama penganjur akan dilakukan bagi tujuan penambahbaikan kejohanan itu pada tahun depan.

“Saya akan berbincang dengan penganjur bagi memilih venue lebih baik kalau diperlukan ataupun menaik taraf venue sedia ada.

piala foo kok keong 1“Perkara ini dilakukan bagi melihat sejauh mana kita mampu menyusun program ini untuk menarik lebih ramai penyertaan daripada pasukan bagus,” katanya kepada SelangorKini selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah kejohanan itu di sini, malam tadi.

Beliau berkata, kejohanan bermula pada 2012 berjaya dari segi penganjuran dan saban tahun menyaksikan perubahan dengan penyertaan pasukan baru seperti tahun ini membabitkan pasukan seperti dari Hong Kong dan Australia.

Katanya, kejohanan bakal diadakan pada tahun depan juga dijangka lebih menarik dengan gambaran awal diterima mengenai minat beberapa pasukan mengambil bahagian antaranya seperti dari Jepun dan sebagainya.

“Kejohanan ini bukan kita mahu menunjukkan kegemilangan masa lalu tetapi ia memberi contoh dan semangat kepada atlet lain.

“Saya lihat ia mampu memberi dorongan kepada pemain sedia ada untuk menyambung karier mereka dan juga sebagai contoh kepada atlet baru,” katanya.

Kejohanan Badminton Antarabangsa Piala Foo Kok Keong 2016 menyaksikan penyertaan 12 pasukan iaitu enam tempatan dan enam dari luar negara berlangsung di Kelab Shah Alam Selangor, 15 hingga 17 Julai lalu.

Ia membariskan mantan pemain handalan negara antaranya Foo Kok Keong, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock dan Yap Kim Hock manakala dari luar seperti Eddy Hartono (Indonesia), Pravit Puangsupang (Thailand), Sean Pan Wai Hoong (Singapura), Beh Chor Kai (Taiwan), Tsay Ping Leong Michael (Hong Kong) dan Adrian E Ooi (Australia).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.