Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor setuju tangguh roboh rumah atas tanah rizab

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kerajaan Negeri membuat keputusan menangguhkan operasi pengosongan kawasan dan tindakan perobohan binaan di atas tanah rizab Sungai Kedondong untuk tempoh tiga bulan.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata keputusan itu dibuat selaras bantahan dibangkitkan penduduk.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sedang mempertimbang sebarang tindakan lanjut ekoran kedudukan kediaman penduduk berdekatan dengan projek Tebatan Banjir di bawah seliaanya.

ZAIDY DUN“Operasi ditangguhkan selama tiga bulan bagi semakan semula jumlah yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun Zaidy berkata, Kerajaan Negeri optimis mencari jalan terbaik bagi memastikan aspek kebajikan penduduk terus menjadi keutamaan demi keaejahteraan bersama.

Ini termasuklah inisiatif menyediakan ruang kerjasama bersama Exco Perumahan, Dato’ Iskandar Abdul Samad untuk sebarang tindakan lanjut.

“Kerajaan Negeri melalui Exco, Dato’ Iskandar Abdul Samad juga akan meneliti dan mencari jalan terbaik untuk membantu rakyat yang terlibat jika ada perobohan dibuat,” katanya.

Terdahulu, Zaidy mengadakan lawatan mengejut di kawasan tapak berkenaan ekoran bantahan penduduk susulan tindakan syarikat kontraktor merobohkan kediaman mereka di atas tanah projek tebatan banjir.

Projek tebatan banjir sebelum ini diwujudkan bagi menyelesaikan masalah banjir dan takungan air di seluruh Selangor.

Antara kawasan projek tebatan banjir termasuklah di sekitar luar perbandaran Shah Alam membabitkan kawasan luar bandar di Hulu Selangor, Sabak Bernam, Klang dan Kuala Selangor.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.