Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Skandal 1MDB: Rakyat perlu bangkit, bertindak terhadap Malaysian Official 1

SHAH ALAM 23 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sepatutnya menghantar Peguam Negara dan Ketua Polis Negara ke Amerika Syarikat bagi bekerjasama dengan negara itu supaya tindakan undang-undang Malaysia boleh diambil terhadap mereka yang terbabit dalam skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Najib juga sewajarnya mengarahkan Peguam Negara dan 1MDB segera menuntut wang dilapor dicuri daripada syarikat milik negara.

“Nampak benar semua ini tidak dilakukan Najib. Dia sebaliknya berkata kes ini bukan kes jenayah tetapi kes sivil dan orang dinamakan dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhak mendapat pembelaan sewajarnya,” kata Muhyiddin dalam kenyataan media.

NAJIB 1MDBBeliau berkata walaupun ia kes sivil bertujuan untuk merampas aset, tetapi ia juga merupakan bukti penipuan oleh mereka dinamakan yang mencuri wang milik 1MDB serta ia adalah suatu jenayah.

“Jika 1MDB dan Kerajaan Malaysia tegas mahu melindungi harta dan khazanah rakyat dari kehilangan atau kerugian, pendedahan mengejutkan ini seharusnya mendorong mereka mengambil tindakan segera mengikut undang-undang Malaysia ke atas MALAYSIAN OFFICIAL 1, Reza Aziz, Jho Low dan nama-nama lain disenaraikan dalam laporan Peguam Negara AS,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau mencabar Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.

“Saya amat kecewa dengan sikap penafian teruk dinyatakan oleh dia dan konco-konconya berkenaan kes penipuan terbesar ditemui pihak kerajaan Amerika itu.

“Yang sepatutnya dibuat oleh Peguam Negara Malaysia bukan melindungi Najib,” katanya.

Beliau berkata rakyat harus sedar dan bangkit bersuara dengan berani menuntut mereka yang merompak harta negara dihukum. Seruan agar rakyat bangun menentang kemungkaran ini hendaklah mengikut lunas undang-undang secara aman dan tidak semestinya dianggap provokatif.

Katanya, DYMM Raja-Raja Melayu yang menjadi Payung Negara yang pernah bertindak bertitah sebelum ini sewajarnya tidak boleh membiarkan Perdana Menteri bermaharajalela merosakkan imej negara dan maruah rakyat serta memusnahkan khazanah negara.

“Majlis Raja-Raja boleh bertindak menjadi benteng terakhir pelindung hak rakyat dan negara.

“Majlis Raja-Raja tidak menyalahi mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia atas semangat Raja-Raja Melayu berbuat sesuatu untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.