Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sukma 2016: Kuartet Selangor gembira catat rekod baru

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 28 JULAI: Kuartet Selangor memenangi emas 4 X 100 meter rampaian lelaki dengan catatan rekod baru Sukan Malaysia (Sukma) di Pusat Akuatik Sarawak, di sini, semalam.

Empat perenang itu, Jie Chan, Shaun Yap Kah Choon, Jordan Yip Zhu Ern dan Yeap Yang Zheng walaupun satu ketika ketinggalan di tempat kedua kepada perenang Johor, namun tenang menangani tekanan untuk akhirnya mengatasi lawan meraih emas.

Kejayaan pingat emas dicapai itu terasa lebih bermakna apabila mereka dapat mencatat rekod baru kejohanan, 3:49.98s mengatasi rekod lama dibuat Selangor sendiri pada temasya Sukma 2012.

“Gembira kerana dapat memecahkan rekod 2012 selepas gagal melakukannya dua tahun lalu.

renang 1“Kita amat berpuas hati dengan prestasi kali ini dan ia juga Sukma terakhir saya,” kata Shaun Yap Kah Choon yang akan kembali menyertai latihan peringkat kebangsaan selepas ini.

Begitu juga Chan Jie yang menganggap penyertaan terakhir dalam Sukma meninggalkan kenangan cukup manis bagi dirinya dengan kejayaan membanggakan.

“Tumpuan selepas ini tentunya berharap untuk bertanding di Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur serta layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Sasaran saya selepas ini untuk meningkatkan prestasi menjadi perenang lebih baik,” katanya.

Bagi Yang Zheng amat gembira mewakili Selangor dan semangat kerjasama tinggi meletakkan mereka sebagai juara.

“Kita sentiasa berusaha memberikan persembahan terbaik setiap kali turun ke gelanggang dan kejayaan ini suungguh bermakna bagi semua,” katanya.

Zhu Ern pula berharap dapat terus mewakili Selangor pada Sukma akan datang serta negara.

“Dengan persembahan baik ini saya harap boleh melakukannya lagi pada masa depan,” katanya.

Mereka menewaskan Tern Jian Han, Wong Fu Kang, Tia Faang Der dan Kenji Lim (Johor) (perak) dan Brandy Chew, Faizal Adam Afif, Wong Jun Bin dan Keith Lim (Wilayah Persekutuan) bagi gangsa.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.