Categories
NASIONAL

Temu rapat pemimpin Pakatan teliti strategi bersama

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 12 JULAI: Pemimpin Pakatan Harapan akan mengadakan satu temu rapat pemimpin daripada KEADILAN, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi membincangkan strategi bersama bagaimana untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada gabungan pembangkang itu.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata perbincangan yang akan diadakan pada masa terdekat itu diputuskan dalam satu Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.

markshort presiden-1“Pimpinan Pakatan Harapan menginsafi pelbagai cabaran dan bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat mutakhir ini apabila pimpinan politik dilihat terlalu terperangkap dengan kegawatan sesama ahli dan parti.

“Pakatan mewarisi perjuangan pembangkang selama berdekad yang meletakkan kebajikan, kesenangan, keselamatan dan masa depan rakyat sebagai kepentingan teratas sesebuah parti politik.

“Oleh yang demikian, Majlis Presiden hari ini membulatkan nekad bahawa pelbagai kelemahan Pakatan setakat ini perlu diselesaikan dengan segera supaya kepentingan rakyat didahulukan,” katanya.

Katanya, Pakatan juga akan membuat pembentangan dan rundingan dengan rakyat berkenaan dasar bersama yang lebih menyeluruh dengan segera supaya tumpuan kembali kepada rakyat.

Turut sama dalam sidang media itu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook; Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan, Datuk Saifuddin Abdullah dan beberapa pemimpin tertinggi tiga parti itu.

Sementara itu, SelangorKini turut difahamkan antara yang hadir dalam mesyuarat itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.