Categories
NASIONAL

Guan Eng pemangsaan politik, tidak perlu letak jawatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 12 JUL: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan pendakwaan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng merupakan tindakan pemangsaan politik atau ‘political persecution’ bertujuan mengukuhkan kedudukan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata PAKATAN menyokong pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa Guan Eng tidak perlu bercuti atau meletakkan jawatannya.

markshort presiden-1“Majlis Presiden PAKATAN juga mengingatkan Datuk Seri Najib Razak supaya tidak terlalu gah menguji kesabaran rakyat dengan pelbagai tindakan mencabul prinsip keadilan, keluhuran perlembagaan dan membebankan rakyat.

“PAKATAN akan merapatkan saf mempertahankan hak dan kebajikan rakyat supaya Datuk Seri Najib Razak tidak mengambil peluang menutup segala penyelewengan semasa keadaan politik dilihat bercelaru sekarang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat KEADILAN,Tropicana di sini, hari ini.

Jelasnya, pemimpin PAKATAN dari ketiga-tiga parti juga akan turut serta dalam program di seluruh negara untuk membawa isu pemangsaan politik terhadap Guan Eng ini kepada rakyat.

Katanya, Majlis Presiden pada mesyuarat itu juga mengulangi pendirian menegaskan bahawa Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga adalah mangsa konspirasi politik yang perlu dibebaskan segera.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.