Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Tiga wakil MPP UNISEL sertai simposium di Hanoi

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seramai tiga Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Selangor (UNISEL) akan menyertai ‘7th University Scholars Leadership Symposium (USLS)’ yang bakal berlangsung di Hanoi, Vietnam, bermula 1 Ogos sehingga 7 Ogos ini.

Pengarah Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan, berkata itu adalah penyertaan kali kedua UNISEL dalam USLS dan kali pertama ketika simposium kali ke-6 di Hong Kong.

“USLS adalah satu simposium yang menghimpunkan lebih 1000 siswa dan siswi dari institusi pendidikan seluruh dunia bagi membincangkan hal berkaitan kemanusiaan.

IMG_4822“Program ini dibentuk bagi melahirkan pemimpin muda yang berupaya dan mempunyai ketahanan terhadap cabaran terkehadapan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Hasril berkata, antara MPP yang terpilih adalah Muhd Fakhrul Amiruddin Hamdan (Yang Dipertua), Qurratu ‘Anini bt Ali Mohamed (Naib Yang Dipertua) serta Nurul Aqilah bt Mahmud (Setiausaha).

Penyertaan pelajar ditaja Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri melalui peruntukan dana pengantarabangsaan yang turut dibiayai UNISEL.

“Keperihatinan universiti dalam memberi peluang kepada pelajar adalah demi mendedahkan mereka kepada program antarabangsa serta membina jaringan antarabangsa dengan peserta negara lain.

“Diharap dengan peluang ini, ia mampu membakar semangat pemimpin muda untuk melakukan sesuatu sebagai respon kepada isu kemanusiaan supaya mereka menyedari potensi diri sebagai ejen perubahan selain menaikkan nama UNISEL ke persada antarabangsa,” katanya.

Simbolik pelepasan pelajar dilaksanakan Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Datuk Dr Muhammad Redzuan Othman serta Timbalan Presiden yang juga Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Prof Dr Shahrudin Badaruddin di Kampus UNISEL, di sini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.