Categories
NASIONAL

Berhenti lindungi ‘Malaysian Official 1’ dengan ulasan ‘pelik-pelik’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) dan pihak berwajib di Malaysia disaran tidak memberi pelbagai ulasan ‘pelik-pelik’ berhubung ‘Malaysian Official 1’ semata-mata mahu menzahirkan kesetiaan kepada individu tertentu.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata individu yang disebut dalam tuntutan mahkamah sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) difailkan semalam mirip kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Peguam Negara Amerika merujuk inidividu yang mirip Perdana Menteri Malaysia. Adalah wajib Najib jawab secara ikhlas apa peranan beliau dalam skandal 1MDB ini.

“Anak Datin Seri Rosmah Mansor (isteri Najib) iaitu Reza Aziz juga dinamakan secara terang terlibat dan istilah yang digunakan adalah dana milik negara Malaysia dicuri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Tian-ChuaTian Chua berkata, istilah ‘dana milik negara Malaysia sudah dicuri’ itu juga menguatkan lagi bahawa skandal terbabit melibatkan orang paling berkuasa dalam negara.

“Pendedahan ini amat memalukan imej negara kerana memiliki pemimpin yang begitu korup.

“Rakyat kesuluruhan menunggu penjelasan Najib. Jika Najib gagal menjelaskan perkara ini, rakyat tiada pilihan selain bangkit untuk mendesak beliau meletak jawatan,” katanya.

DOJ menyebut berulang-kali individu dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1’ dalam saman mereka menyebabkan banyak spekulasi mengenai identiti tokoh berkenaan.

Walaupun Najib tidak dinamakan dalam saman itu, tetapi terdapat banyak spekulasi bahawa ‘Malaysian Official 1’ merujuk kepadanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.