Categories
NASIONAL

AMK: Khairy Jamaluddin jahil undang-undang

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 8 OGOS: Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkenaan tindakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) ke atas individu berkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya menunjukkan kejahilan beliau di dalam perihal undang-undang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata DOJ cuma membentangkan fakta berdasarkan bukti yang terperinci.

“Kerajaan mesti jelaskan sama ada semua dakwaan di dalam saman tersebut adalah benar atau tidak dan rantaian kejadian kes itu.

NIK-NAZMi“Tapi kami faham, Khairy mesti mempertahankan Perdana Menteri walaupun digelar macai. Oleh itu janganlah merungut sahaja, bentangkan fakta yang jelas, benar dan tidak mungkin disangkal mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin menggesa ahli parti supaya berani dan berdiri bersama presiden, Datuk Seri Najib Razak walaupun mereka perlu menjadi balaci dan macai.

Nik Nazmi menjelaskan, DOJ sebuah agensi kerajaan yang berdaulat dan mereka berhak mengambil tindakan pelucutan juga rampasan ke atas aset yang berkaitan demi menjaga kepentingan AS.

“Jika Putrajaya merasakan mereka diberi layanan yang tidak adil, kerajaan hanya perlu menyangkal fakta tersebut dengan menjelaskan siapa sebenarnya Pegawai Malaysia Nombor 1 (Malaysian Official 1) yang dikaitkan tanpa nama tetapi diterangkan dengan pelbagai cara termasuk sebagai pegawai kanan kerajaan yang juga mempunyai kuasa di dalam 1MDB dan mempunyai tali persaudaraan dengan Riza Aziz dan menerima dana yang besar melalui urusan 1MDB.

“Lagipun rakyat Malaysia memang berhak menerima penerangan yang terperinci dan telus daripada Kerajaan Malaysia berkenaan fakta yang berkait dengan kes tersebut,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.