Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

AMK: PTPTN perlu kaji keputusan henti pembiayaan penuh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OGOS: Angkatan Muda KEADILAN meminta kerajaan mengkaji semula keputusan Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghentikan pembiayaan penuh kepada pelajar yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata keputusan itu bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar, bahkan menyukarkan rakyat Malaysia mendapatkan pendidikan di peringkat lebih tinggi.

“Kenaikan kos sara hidup yang tinggi sudah pasti akan memberi kesan kepada peminjam.

“Tanpa PTPTN atau apa-apa bantuan kewangan seumpamanya, majoriti rakyat Malaysia akan menghadapi kesusahan untuk menyambung pelajaran sehingga ada yang terpaksa meminjam daripada keluarga, kawan, malahan lebih teruk ada juga yang meminjam daripada Ah Long.

NIK-NAZMi“Faktor ini perlu juga diambil kira kerana keperluan kehidupan harian seperti makan minum, kos pengangkutan dan bayaran sewa serta utiliti rumah mesti diutamakan,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, pihaknya memahami keputusan itu disebabkan kadar bayaran balik yang rendah.

Bagaimanapun, katanya, PTPTN juga harus sedar bahawa badan itu merupakan sumber utama bagi pelajar untuk menyambung pengajian ke IPTA.

“Masalah pembayaran semula ini telah lama dikenalpasti PTPTN dan sehingga kini mereka masih gagal melaksanakan sebarang tindakan perancangan yang berkesan untuk mengatasinya.

“Malah, daripada dulu lagi KEADILAN menyarankan kerajaan mengkaji punca sebenar permasalahan ini. Sehingga kini, kami tidak dimaklumkan tentang sebarang kajian yang dibuat,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata trend bayaran balik yang masih rendah dalam kalangan peminjam sedia ada menyebabkannya terpaksa mengurangkan kadar pinjaman kepada penuntut baru.

Sehingga Disember 2015, PTPTN hanya berjaya mengutip RM8 bilion berbanding sasaran RM15 bilion daripada RM26 bilion pinjaman yang diluluskan.

PTPTN juga hanya meluluskan 95 peratus daripada kos pengajian kepada penuntut IPTA dan 85 peratus kepada penuntut IPTS.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.