Categories
BERITA UTAMA

Yang kita tidak tahu, siapa Anwar di sebalik tabir?

OLEH NAZLI IBRAHIM

Kebanyakan kita mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang gigih berjuang untuk memerdekakan negara ini daripada cengkaman kerajaan yang korup dan menindas rakyat.

Kita mengetahui beliau bukan sahaja pernah menduduki kerusi nombor dua dalam hariki pentadbiran negara, malahan pernah memangku jawatan Perdana Menteri.

Kita juga tahu perjalanan politik Anwar cukup berliku dan masak dengan sepak terajang politik apabila tiga kali terpenjara, difitnah dan pelbagai dugaan dan cabaran getir lain.

Itu yang kita tahu tetapi disebalik semua itu, siapakah Anwar di sisi lain? Siapakah Anwar di mata anaknya, rakan sepermainannya, rakan sekolah, guru dan orang-orang tua di kampung Cherok To’ Kun?

BEBAS ANWARSempena ulang tahun kelahiran Anwar ke-69 pada 10 Ogos lalu yang juga jatuh pada bulan kemerdekaan, SelangorKini kongsikan siapakah Anwar Ibrahim seperti yang diceritakan anak sulung beliau, Nurul Izzah Anwar, rakan sepermainannya, Osman Ibrahim yang mesra dengan panggilan Pak Tih, 69 dan sepupu kepada Anwar, Zulkifly Saat, 57 tahun.

Turut sama berkongsi cerita, Mohd Zainizam Zainal Abidin, 40 tahun, iaitu anak kepada salah seorang guru yang pernah mengajar Anwar di alam persekolahan.

Banyak cerita mereka kongsikan, ada yang mencuit hati dan tidak kurang juga yang menyentuh perasaan.

Minat buku sejak kanak-kanak (sub)

Anwar mempunyai minat mendalam terhadap buku sejak di usia kanak-kanak lagi. Pada suatu hari, ketika bersekolah di tingkatan dua, semasa subjek Pendidikan Jasmani, Pak Tih dan beberapa rakan lain bersiap sedia untuk ke padang untuk bermain sama ada sofbol, ragbi atau sebagainya.

Apabila melihat Anwar yang masih tidak bersiap sebaliknya tekun membaca buku, Pak Tih dan rakan lain mengajak Anwar bermain sama. “Apa nak jadi hang ni Anwar, tak nak bersukan, marilah kita main bersama” sapa Pak Tih.

Sambil terus membaca Anwar menjawab, “hang mainlah. Aku nak baca buku sebab suatu hari nanti aku nak jadi Perdana Menteri,” jawab Anwar. Pak Tih dan rakan lain yang ketika itu tidak berapa mengerti makna Perdana Menteri hanya tertawakan jawapan Anwar itu.

Kepintaran Anwar memang menonjol berbanding kanak-kanak lain. Guru beliau ketika darjah dua, Allahyarham Zainal Abidin pernah memberitahu Zainizam berkenaan tulisan tangan Anwar.

“Bapa saya cerita masa di darjah dua lagi, dia dah kesan Anwar adalah seorang yang istimewa. Lain daripada budak lain. Contoh mudahnya tulisan Anwar. Masa tu maklumlah budak darjah dua punya tulisan memang teruk tetapi Anwar punya tulisan memang dah ‘perfect’, dah macam orang dewasa.

“Seperkara lagi, tanyalah dia apa sahaja soalan, memang dia boleh jawab. Lama kelamaan sehinggalah pada suatu hari, bapa saya usap kepala Anwar dan kata pada Anwar, “hang ni, suatu hari nanti hang jadi menteri dan Anwar ingat kejadian ini sampai sekarang,” kata Zainizam.

Hormati orang lebih dewasa (sub)

Walaupun Anwar sama seperti budak kampung lain bermain, mandi kolam dan mendaki bukit tetapi Anwar cukup sensitif terhadap orang lebih dewasa terutama ibu, bapa juga guru.

ANWAR IBRAHIM“Beliau cukup marah kepada kami sekiranya tidak menghormati ibu bapa,-guru dan orang lebih dewasa. Salah satu tanda beliau sedang marah apabila telinganya jadi merah,” kata Pak Tih.

Disebabkan beliau cukup menghormati orang dewasa dan mempunyai keperibadian yang menonjol, Anwar disayangi oleh imam kampung dan juga orang tua di kampung Cherok Tok’Kun. Mereka menganggap Anwar seperti anak sendiri.

“Kalau imam di kampung ini, macam emak bapak dialah. Kalau balik, dia mesti cari. Dia punya sentuhan peribadi dengan orang kampung memang hebat,” kata Zulkefly.

Semasa bermain, Anwar kerap mengambil peranan sebagai ketua. Contohnya, apabila Anwar menganjurkan pertandingan bermain masak-masak untuk rakan yang lebih muda, beliau akan menjadi pengadil. Anwar akan mengusahakan untuk menyediakan hadiah sepeti ‘biskut merry’ dan lain-lain.

Menurut Pak Tih, Wan Muhammad merupakan individu yang mula-mula melatih Anwar berucap di depan khalayak ramai.

Salah satu kejadian mencuti hati semasa Anwar kanak-kanak, seekor lipan bukit terjatuh di atas kaki Anwar ketika beliau sedang bercerita mengenai Nabi Sulaiman.

“Cikgu Wan Muhammad ni setiap minggu akan suruh kami bercerita seolah-olah melatih untuk ‘public speaking’. Masa giliran Anwar bercerita tentang Nabi Sulaiman seekor lipan bukit jatuh ke atas kaki dia. Dia bukan main terkejut. Kami ketuk lipan tu sampai mati.

“Bila dah mati, kami tanam. Lepas tanam kami cakap pada Anwar, hang pi la talkinkan dia. Tak kesian ka pada dia? Saya teringat lagi apa dia jawab. Aku mana reti baca talkin ni, kita tanam sudahlah. Bila dewasa bila saya teringat saat itu, saya terfikir dialah orangnya yang akan mentalkinkan Umno-BN,” kata Pak Tih.

Surat berbahasa Inggeris (sub

Berbeza dengan pelajar lain, salah satu proses pembelajaran Anwar untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris adalah dengan berutus surat.

“Pernah masa perjumpaan bekas murid Stocwell, guru kami Mr Tan beritahu kami Anwar masa itu sudah melanjutkan pelajarannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar selalu hantar surat tetapi dalam bahasa Inggeris.

“Dia kata dalam surat Anwar itu ada banyak kesilapan. Mr Tan tandakan dengan pen merah dan betulkan kesilapan itu. Mereka berterusan berbalas surat semasa Anwar di Kolej Melayu Kuala Kangsar,” kata Pak Tih.

Ketika masih menuntut di Universiti Malaya, Anwar pernah menjadi guru sementara di sebuah sekolah aliran Cina iaitu Sekolah Persendirian Jit Shin. Beliau mengajar selama dua bulan di sekolah itu.

BEBAS ANWARSalah satu keistimewaan Anwar, beliau memiliki keperibadian yang cepat meninggalkan kesan di hati orang yang mengenali dirinya. Contohnya, walaupun hanya mengajar selama dua bulan di Sekolah Persendirian Jit Shin tetapi beliau sentiasa diingati selepas meninggalkan sekolah terbabit.

“Masa di universiti, dia ada buat sesuatu untuk belia Cherok To’ Kun, dia buat Persatuan Belia Tata Rakyat (Betara) dengan buat kelas bimbingan untuk pelajar sekolah tingkatan tiga dan satu. Dia kumpulkan semua budak universiti di situ dan dia sendiri jadi tenaga pengajar di situ,” cerita Zulkefly.

Bukit Mertajam lokasi riadah (sub)

Salah satu kegiatan yang digemari Anwar semasa kecil adalah menaiki Bukit Mertajam bersama rakan-rakannya. Kegemarannya itu diteruskan sehingga beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri cuma bezanya kali ini diiringi polis pengiring.

Semasa beliau menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri, setiap kali beriadah menaiki Bukit Mertajam beliau akan memperlahankan lariannya supaya Pak Tih dan rakan sekampungnya semasa kecil dapat mengejar untuk berlari bersama.

Apabila kumpulan Pak Tih menghampiri Anwar, beliau akan akan memberikan isyarat kepada polis pengiringnya supaya memberi ruang privasi kepada beliau dan rakan sekampungnya itu.

Lazimnya, Anwar memastikan beliau sempat bermalam di Kampung Cherok To’Kun sebelum menjelang raya. Ketika itu, rumah beliau turut dihadiri ahli politik dan pegawai kerajaan tempatan. Keadaan ini menyebabkan rakan sepermainan beliau semasa kecil merasa janggal dan membataskan Anwar untuk bersembang dengan mereka.

Anwar menyedari keadaan ini. Apabila semua tetamu lain pulang kira-kira selepas jam 11.00 malam, Anwar meminta rakan-rakannya tidak pulang sebaliknya mereka berbual sambil bergelak ketawa sehingga jam 2.00 atau 3.00 pagi.

Anwar tidak gemar dipanggil Datuk Seri oleh rakan sepermainannya sebaliknya beliau lebih selesa dengan panggilan biasanya di kampung, Anwar atau Non.

Walaupun sudah menjadi Timbalan Perdana Menteri, Anwar tidak makan di bawah khemah utama apabila menghadiri kenduri kahwin di Kampung Cherok To’Kun sebaliknya beliau gemar makan di bahagian belakang atau bawah pokok bersama tukang masak dan orang kampung lain.

Menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memang memberi tekanan. Pada suatu hari seperti biasa Anwar beriadah, berlari menaiki Bukit Mertajam bersama rakan kampungnya.

Selepas kepenatan mereka berehat di sebatang pokok yang terdapat akar yang berjuntaian. Melihatkan tali akar itu, Anwar bergayut menggayakan ala tarzan sambil menyanyikan sebuah lagu daripada filem Hindustan bertajuk Sanggam.

Anwar tidak melupakan peristiwa itu. Setiap kali bertemu rakan kampungnya beliau sering menceritakan kembali saat itu.

Nota lama jadi koleksi (sub)

IZZAH-ANWAR-604x270Anwar suka menyimpan kad atau nota lama. Antaranya, semasa beliau masih bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Antara nota yang pernah dilihat rakan kampungnya adalah nota daripada senior beliau iaitu,Tan Sri Sanusi Junid.

Anwar bukan sahaja menonjol dalam kalangan penduduk kampung, malahan potensinya juga dilihat pelajar senior di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Justeru itu, beliau sering diberi tugasan apabila bercuti di kampung. Antara tugasan beliau adalah mengadakan tuisyen.

Salah satu sikap Anwar, beliau lebih suka orang yang tidak mengiyakan apa sahaja kata-kata beliau sebaliknya membalas hujahnya.

Anwar mempunyai daya ingatan yang kuat. Walaupun tidak lagi menetap di Kampung Cherok To’Kun, beliau dapat mengingati kebanyakan pemilik rumah yang dilaluinya.

Selain tegas dalam isu rasuah, Anwar juga tegas dalam soal kerja. Antara perkara yang tidak disukainya apabila pembantunya tidak menyerahkan fail sesuatu permohonan melibatkan penduduk kampung.

Pernah semasa beliau menduduki jawatan Menteri Pelajaran, beliau memarahi pembantunya kerana tidak menyerahkan permohonan biasiswa melanjutkan pelajaran seorang anak kampung. Bagi beliau fail itu sangat penting kerana membabitkan masa depan seorang anak muda.

Semasa dipenjarakan kali kedua, Anwar kerap menulis. Antaranya kad raya (sebenarnya sepucuk surat) kepada keluarganya yang menceritakan seekor burung merpati tersesat memasuki sel beliau dengan sayap yang patah.

“Papa juga berkongsi makanan dengan kadangkala memberi cebisan roti buat merpati yang agak lemah kerana tidak dapat mencari makanan sendiri.

“Malangnya, beberapa hari kemudian papa mendapati burung merpati itu tiada lagi sebaik beliau pulang semula ke penjara daripada mendapatkan rawatan di hospital,” kata Nurul Izzah.

Ironiknya, merpati sering diangkat sebagai satu simbol kebebasan tetapi pada masa itu Anwar sedang dipenjarakan, kebebasannya dinafikan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.