Categories
NASIONAL

Cadangan Noh kutip dana awam baiki infra sekolah tak masuk akal

SHAH ALAM 2 OGOS: Cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mewajibkan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) di Selangor melaksanakan kutipan dana awam membantu sekolah menyelesaikan masalah infrastruktur tidak masuk akal.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata rakyat Selangor tidak memerlukan seorang menteri yang sebaik sahaja dilantik dan terus berhasrat memerah rakyat yang sudah terbeban dengan masalah kewangan.

“Tidak masuk akal juga apabila menteri baru dilantik semula ini cuba menunjukkan kerisauannya terhadap kekurangan dana kerajaan menyelenggara sekolah.

“Sedangkan keseluruhan kabinet langsung tidak peduli dengan dakwaan kecurian US$3.5 bilion daripada 1MDB,” katanya dalam kenyataa media, hari ini.

Semalam, Noh dilaporkan berkata, PIBG di Selangor mungkin boleh menganjurkan aktiviti mengumpul dana tahunan bagi membiayai kos penyelenggaraan sekolah.

Kerajaan, kata Noh, telah memperuntukkan berbilion ringgit setahun untuk tujuan tersebut namun ia masih belum mencukupi.
“Saya terfikir mewajibkan PIBG di negeri ini untuk mengadakan program bertujuan mengumpul dana,” jelas Noh semasa sidang akhbar karnival PIBG.

Mengulas lanjut Lim menambah, dalam belanjawan tahun ini, begitu banyak pemotongan dikenakan ke atas sektor pendidikan.

Namun Perdana Menteri bukan sahaja tidak mengurangkan perbelanjaannya malah menaikkan peruntukan daripada RM19 bilion pada 2015 kepada RM20.3 bilion atau 7.6 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2016, tambahnya.

“Kerajaan sewajarnya mengambil sebahagian peruntukan RM20.3 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri digunakan bagi tujuan penyelenggaraan sekolah.

“Rakyat juga wajar dimaklumkan siapakah daripada sembilan orang menteri tadi yang tidak bersetuju dengan cadangan ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.