Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Senarai hitam PTPTN, BNM disaran longgar syarat pinjaman rumah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 OGOS: Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) membuat permohonan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melonggarkan syarat senarai hitam peminjam perumahan di negeri itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata hal itu kerana lebih separuh daripada peminjam perumahan ditolak permohonan selepas disenarai hitam oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, ia menjadi masalah kepada sesiapa yang ingin membeli rumah, terutamanya membabitkan projek rumah mampu milik, Rumah Selangorku.

“Sekiranya dalam satu projek, 60 peratus daripada mereka memohon pinjaman ditolak, daripada 60 peratus tersebut, separuh disenarai hitamkan sebab pinjaman PTPTN.

Dalam mesyuarat jawatan kuasa tetap, kita hendak mencadangkan supaya (senarai hitam PTPTN) jangan dimasukkan di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS),” katanya.

CP2A8308-800x533Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Xavier Jayakumar (PKR-Andalas) yang ingin tahu adakah kerajaan negeri sudah berbincang dengan pihak Bank Negara mengenai masalah pinjaman perumahan yang tidak diluluskan.

Pada masa yang sama, Iskandar berkata pihaknya akan mencadangkan kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenai tindakan perlu dilakukan kepada pemaju ingkar membina Rumah Selangorku walaupun sudah diberi kelulusan.

Katanya, terdapat 14 projek diluluskan di bawah insentif pembinaan Rumah Selangorku merangkumi 20,008 unit kediaman di mana satu projek telah siap dibina, 11 projek masih dalam pembinaan dan dua lagi projek belum dibina.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.