Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Enggan beri kerjasama, kebun haram dilupuskan

OLEH SYASYA SUFIAN

PETALING JAYA, 25 OGOS – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terpaksa mengambil tindakan tegas apabila beberapa individu ingkar dan masih mengusahakan tanah milik pihak berkuasa tempatan itu di Taman Awam, Jalan Railway 1/2, di sini, dengan aktiviti berkebun.

Pengarah Pertanian dari Jabatan Landskap MBPJ, Shahrizatul Shima Shamsuri berkata, MBPJ terpaksa melupuskan kebun itu kerana keengganan pihak terbabit memberikan kerjasama dan kawasan berkenaan juga sudah dinaik taraf menjadi taman rekreasi awam.

“Kita sudah mengadakan satu perbincangan antara MBPJ bersama pihak terbabit dan mereka meminta penangguhan sehingga kebun itu membuahkan hasil. Selepas itu kerja pembersihan akan dilakukan.

image (1)“Namun, sehingga kini selepas mendapat hasilnya, masih tiada sebarang tindakan daripada mereka yang menyebabkan MBPJ perlu mengambil tindakan tegas membersihkan kawasan itu hari ini,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Difahamkan, kawasan tersebut dinaik taraf menjadi taman awam dan kebun komuniti untuk kegunaan orang ramai beriadah dan bersenam.

Sementara itu, ADN Bukit Gasing, R Rajiv berkata, taman itu sudah dibuka kepada orang awam sejak September 2015, namun kebun kecil yang ditanam beberapa individu menjadikannya semak dan tidak berjaga.

“Saya menerima beberapa aduan daripada penduduk yang bimbang kebun kecil yang tidak berjaga bakal mengundang bahaya selain menjadi tempat pembiakan binatang liar seperti ular.

“Oleh itu, kita perlu mengambil langkah segera membuat kerja pembersihan ke atas kebun haram itu,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.