Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Exco: Cari resolusi terbaik, tindakan segera elak pelajar terlibat DAESH

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan Negeri akan mengambil langkah segera bagi mengelakkan pelajar daripada terjebak dengan kegiatan militan DAESH.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kerajaan Negeri memandang serius perkara terbabit dan mengambil pendekatan berkesan menangani masalah itu.

“Kita memandang serius perkara yang membabitkan pelajar. Kita tidak mahu mereka terbabit dengan sebarang gejala yang merosakkan diri-sendiri,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) bagi mencari solusi terbaik dalam hal itu.

NIK-NAZMi“Kita mahukan kerjasama semua pihak membantu mencari jalan penyelesaian terbaik dan Kerajaan Negeri akan berbincang dengan JAIS, UNISEL dan KUIS dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sebelum ini, universiti awam mengambil pelbagai langkah bagi mengelak penuntut daripada terjebak dengan kegiatan militan DAESH termasuk melakukan pemantauan terhadap akaun media sosial mereka.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, terdapat sebilangan kecil mahasiswa mempunyai kecenderungan menyokong ideologi DAESH.

Polis Diraja Malaysia bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dalam usaha bendung pengaruh militan DAESH dalam kalangan mahasiswa.

Noor Rashid berkata, kumpulan militan itu menyasarkan golongan muda untuk direkrut kerana mereka mudah terpengaruh.

Beliau berkata, kumpulan militan DAESH merekrut pelajar yang berdepan masalah seperti konflik keluarga dan masalah sosial hasil daripada risikan.

Noor Rashid berkata, kerjasama dengan Jabatan Agama Islam negeri juga dipertingkatkan kerana kumpulan DAESH turut menggunakan isu agama untuk mendapatkan pengikut.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.