Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat dakwaan dua rakyat Malaysia ditahan Taliban

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan permohonan kepada agensi keselamatan luar negara bagi menyiasat dakwaan berhubung dua rakyat negara ini yang ditahan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya mengambil maklum mengenai laporan berita dua rakyat negara ini ditahan kerana penglibatan mereka sebagai pejuang Daesh.

“Setakat ini, PDRM tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung penglibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti Daesh di Afghanistan.

“Bagaimana pun, siasatan sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita yang dilapor tersebut melibatkan pejuang Daesh warganegara Malaysia yang telah sedia ada berada di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Media antarabangsa semalam melaporkan dua rakyat Malaysia antara enam individu yang ditahan pihak berkuasa Taliban kerana terbabit dalam pertemburan bersenjata di Kabul, Afghanistan pada Khamis lepas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis: Bekas gitaris Ukays mati di Syria

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Bekas anggota kumpulan rock Ukays, Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin atau dikenali sebagai Akel Zainal yang menyertai kumpulan militan IS di Syria disahkan terbunuh dalam serangan udara di negara itu, awal tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata berdasarkan maklumat diterima daripada rakan sejawatannya serta sumber rakyat Malaysia di Syria, Akel Zainal, 39, dan seorang lagi militan Daesh, Mohd Rafi Udin, 53, maut dalam serangan udara Rusia di Syria pada Januari dan Mac lepas.

“Kami menerima maklumat bahawa rumah Akel di Baghouz terkena serangan bom dari udara pada Mac lalu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata turut terbunuh dalam serangan udara itu ialah isteri Akel Zainal dan dua anaknya berusia dua serta tiga tahun selain seorang pejuang IS warga Belgium.

Akel Zainal dilaporkan menyertai IS sejak tercetusnya konflik di Syria malah turut ke sana untuk menyertai perang sejak 3 Januari 2014.

Dia dipercayai pejuang IS dari Malaysia paling kanan yang bergerak di Syria dan dikenal pasti oleh pihak berkuasa Malaysia sebagai individu yang bertanggungjawab dalam beberapa rancangan untuk melakukan serangan keganasan di dalam negara.

Ayob Khan berkata Mohd Rafi Udin yang juga dikenali sebagai Abu Awn Al-Malizi merupakan bekas pengikut kanan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) maut dalam serangan udara Rusia pada Januari lepas.

Mohd Rafi menyertai Jemaah Islamiyah (JI) sebelum ke Syria untuk menyertai IS dan pernah muncul dalam video IS pada 2016 dengan menyeru serangan terhadap kerajaan sekular dan pemimpinnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Turki perkukuh kerjasama dengan Malaysia perangi keganasan

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Turki akan meneruskan kerjasama dengan Malaysia dalam usaha negara ini memerangi keganasan, termasuk memperhebat perkongsian risikan mengenai pejuang Daesh rakyat Malaysia di Syria.

Duta Turki ke Malaysia Merve Safa Kavakci berkata, kolaborasi sedemikian adalah penting dan ia akan menjadi usaha yang berterusan.

“Contoh yang baik kerjasama sedemikian berlaku beberapa ketika dahulu apabila pihak-pihak berkaitan berkongsi risikan dan mengambil bahagian dalam operasi bersama bagi menentang Daesh,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Pada Ahad, Bernama melaporkan bahawa polis kini berusaha membawa pulang kira-kira 40 rakyat Malaysia – 11 lelaki dan selebihnya wanita dan kanak-kanak – yang ditahan di Syria kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan di sana.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas Bukit Aman (E8) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik sebagai berkata kesemua lelaki kini ditahan di penjara Al-Hasakah manakala wanita dan kanak-kanak ditempatkan di kem Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Kavakci berkata, ‘Operasi Peace Spring’ yang dilancarkan Turki di bahagian timur laut Syria bagi menghapuskan unsur-unsur keganasan di sepanjang sempadan Turki-Syria akan turut memberi manfaat kepada Malaysia.

“Operasi Peace Spring juga akan menyumbang kepada usaha Malaysia dalam memerangi keganasan Daesh dan kehadiran Turki di rantau ini bakal memperkukuh perkongsian risikan serta kaedah operasi terhadap pengganas Daesh,” katanya.

Beliau berkata Turki juga komited untuk menjalin kerjasama dengan negara lain bagi memudahkan penghantaran pulang kesemua pengganas Daesh yang ditahan di sempadan Syria dan untuk didakwa di negara asal mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Penglibatan wanita sebagai penyerang bunuh diri membimbangkan – Polis

PENDANG, 21 OGOS: Penglibatan golongan wanita di rantau Asia Tenggara dalam kegiatan kumpulan militan Daesh sebagai penyerang bunuh diri semakin membimbangkan ekoran mereka mempunyai suntikan semangat baharu untuk melancarkan serangan berskala besar.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata malah, golongan itu juga sudah mempunyai kepakaran untuk menghasilkan bahan letupan yang berimpak besar.

“Lagi kita bimbang adalah penglibatan wanita sebagai penyerang bunuh diri atau ‘suicide bomber’, wanita yang terlibat dalam serangan di gereja (di Selatan Filipina pada Januari lepas), (serangan) di Surabaya pun wanita juga. Trend ini terbaharu di rantau Asia Tenggara yang guna wanita sebagai penyerang bunuh diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan taklimat pada program Seminar Kesedaran Keselamatan: Menangani Ancaman Daesh, IS dan Ajaran Sesat di Dewan Serbaguna, di sini hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan berkata kerjasama yang melibatkan kumpulan Daesh di negara ini dengan Indonesia dan Selatan Filipina juga membimbangkan pada masa ini.

Beliau berkata, keadaan itu berdasarkan tangkapan pihaknya pada Mei lepas di Keningau, Sabah yang membabitkan dua lelaki anggota Daesh Indonesia yang menjadi fasilitator kepada anggota Daesh lain yang membuat transit di Keningau sebelum melancarkan serangan gereja di Selatan Filipina, Januari lalu.

“Dua lelaki ini bekerja di Keningau…ini kita bimbang trend kerjasama antara elemen-elemen Daesh Malaysia, Indonesia dan Selatan Filipina ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata seramai 40 individu termasuk dua wanita ditahan pihaknya setakat ini di negara ini yang dipercayai terlibat dalam aktiviti militan berkenaan sejak Januari lepas.

“Kita fokus kepada pencegahan, ada maklumat awal dan cukup bukti kita akan tangkap kita tidak akan biarkan mereka lancarkan serangan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Jangan pandang ringan ancaman DAESH di Asia Tenggara

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pertempuran selama sebulan bagi menguasai bandar Marawi di Mindanao antara tentera Filipina dan militan yang bersumpah taat setia kepada pemimpin Daesh (Negara Islam), Abu Bakar al-Baghdadi memberi peringatan supaya tidak memandang ringan terhadap ancaman kumpulan pengganas itu di Asia Tenggara.

Pertempuran sengit di jalanan di Marawi yang meragut nyawa beratus-ratus tentera kerajaan, militan dan orang awam menunjukkan pengaruh Daesh yang semakin meningkat di Asia Tenggara walaupun ramai anggota kumpulan pengganas itu terbunuh dalam pertempuran dan keruntuhan pengaruhnya di Iraq dan Syria.

Seorang pakar anti keganasan berkata, kekalahan yang dialami Daesh di Timur Tengah mungkin melalaikan kebanyakan kerajaan di Asia Tenggara sehingga memperkecilkan ancaman yang semakin menular oleh kumpulan pengganas itu di rantau berkenaan.

“Negara Islam (Daesh) adalah jauh lebih maju di Asia Tenggara daripada yang diramalkan sebelum ini,” kata Phill Hynes, ketua penganalis politik dan risiko di ISS Risk yang berpusat di Hong Kong semasa perbincangan panel bertajuk “Bolehkah Asia Tenggara menjadi Barisan Hadapan Baharu Negara Islam” di Kelab Wartawan Asing Thailand baru-baru ini.

daeshBERNAMA melaporkan, pertempuran di Marawi menunjukkan keupayaan kumpulan militan tempatan yang bergabung dengan Daesh, Maute dan Abu Sayyaf, untuk merancang dan menggerakkan operasi keganasan besar-besaran seperti menawan dan menduduki bandar tepi pantai di selatan Filipina itu yang didiami oleh 200,000 penduduk.

Keupayaannya bertahan selepas lebih sebulan diserang oleh tentera Filipina yang mempunyai persenjataan lebih lengkap termasuk serangan udara membuktikan lagi keupayaan ketenteraan Daesh dan keyakinannya semakin meningkat.

Kumpulan militan tempatan yang berkubu di Marawi dikatakan diketuai pengganas paling dikehendaki Isnilon Hapilon sehingga kerajaan Amerika Syarikat menawarkan ganjaran US$5 juta bagi penangkapannya.

Menurut Hynes, perkembangan di Marawi juga boleh membangkitkan ‘inspirasi’ kepada kumpulan pengganas itu yang seterusnya dapat menarik lebih ramai anggota dari luar untuk mengalih perhatian ke rantau Asia Tenggara sebagai medan pertempuran baharu.

“Pertempuran di Marawi menjadi inspirasi bagi pengikut Daesh, tidak semestinya sebagai percubaan untuk mewujudkan ‘wilayah’ di Asia Tenggara. Ia adalah untuk meniupkan inspirasi kepada semua orang, memberi inspirasi kepada pengikut dan mewujudkan momentum,” kata pakar itu.

Beliau berkata, negara di rantau ini perlu meningkatkan keupayaan mereka untuk menangani ancaman yang dicetuskan Daesh juga penyokongnya dan tidak mengalami nasib sama seperti Filipina.

mindanaoPakar itu melahirkan rasa terkejut terhadap kegagalan perisikan Manila untuk menjangka dan meramalkan pergerakan militan di Marawi, yang menurut beliau betapa menunjukkan ketidakupayaan Filipina sebagai rangkaian paling lemah di rantau ini dalam memerangi Daesh.

Seorang lagi anggota panel perbincangan, Endy Bayuni, editor kanan Jakarta Post berkata, ideologi ganas yang ditonjolkan Daesh gagal menarik sebilangan besar pengikut dan penyokong di Indonesia walaupun ngara itu memp[unyai jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia.

“Daesh tidak popular di Indonesia,” kata beliau yang menganggarkan bilangan rakyat Indonesia yang terpengaruh dengan ideologi itu kira-kira 500 orang sambil berkata pendekatan kesederhanaan yang diamalkan negara itu kepada Islam antara sebab utama penolakan ideologinya oleh sebilangan besar penduduk.

Beliau menyifatkan, beberapa insiden membabitkan penyokong Daesh di negara itu sebagai kes terpencil dan tidak memberi gambaran sebenar Indonesia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana.

Sementara itu, seorang lagi anggota panel perbincangan, Rungrawee Chalermsripinyorat berkata, Thailand kekal bebas daripada sebarang masalah berkaitan Daesh.

Categories
NASIONAL

Polis Melaka terus pantau unsur berkait Muhammad Wanndy

MELAKA, 11 MEI: Polis kontinjen Melaka akan terus memantau aktiviti dan perkara disyaki mempunyai kaitan dengan Ketua Militan Daesh Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi atau kumpulan lain.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, sehingga kini, polis mendapati tiada lagi unsur berkaitan Muhammad Wanndy mahupun militan Daesh di negeri ini.

“Kita juga melakukan pemantauan secara berterusan di kampung kelahiran Ketua Militan Daesh Asia Tenggara itu di Masjid Tanah dan mendapati tiada aktiviti mencurigakan,” katanya lapor BERNAMA.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Muhammad Wanndy terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April lalu.

Pada masa sama, Abdul Jalil berkata, Polis Kontinjen Melaka yakin Melaka bebas daripada kegiatan militan Daesh, sehingga kini.

“Di Melaka, kegiatan berkaitan militan Daesh adalah kurang dan boleh dikatakan tiada, baik di Masjid Tanah mahupun di daerah lain kerana polis sentiasa membuat pemantauan ketat.

“Polis juga mendapat kerjasama erat daripada masyarakat yang sentiasa menyalurkan maklumat bagi membolehkan polis menyelesaikan perkara itu dari peringkat awal,” katanya.

Categories
NASIONAL

Daesh: Polis tahan sembilan suspek

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Sembilan lelaki termasuk seorang guru sekolah rendah disyaki terbabit dengan kegiatan militan Daesh ditahan di beberapa lokasi dalam negara, antara 15 Mac hingga 21 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mereka terdiri daripada warga tempatan berumur antara 24 dan 46 tahun ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Kelantan dan Johor.

Suspek pertama yang ditahan pada 15 Mac lalu ialah juruteknik Puspakom Sdn Bhd, berusia 27 tahun di Klang.

“Suspek adalah salah seorang anggota sel kumpulan Telegram ‘Gagak Hitam’ (Sel Kumpulan pengganas Daesh yang terlibat dalam insiden letupan di Kelab Movida, Puchong).

Suspek mengaku terlibat dalam penyaluran dana kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi bagi kegunaan Daesh di Syria,” katanya dalam kenyataan.

-AA-

Categories
NASIONAL

Polis tahan 7 lelaki terlibat serangan Daesh

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Dua lelaki terdiri daripada warga tempatan dan Indonesia yang menerima arahan melancarkan serangan menggunakan bom kenderaan berskala besar di Malaysia ditahan polis, semalam.

Penahanan itu dilakukan ekoran kedua individu terbabit dipercayai terlibat dengan aktiviti pengganas dalam operasi di Kuala Lumpur dan Selangor bersama yang lain, antara 21 dan 26 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, turut ditahan empat warga Yaman dan seorang dari Asia Timur.

“Warga Malaysia dan Indonesia anggota sel kumpulan pengganas Daesh itu, masing-masing berusia 41 dan 28 tahun ditahan di Kepong, pada 21 Februari lalu.

“Mereka masing-masing bekerja sebagai juruteknik kilang dan petani,” katanya.

Khalid berkata, soal siasat mendapati mereka menerima arahan daripada Mohamed Wanndy Mohamed Jedi untuk menggunakan bom kenderaan atau ‘Vehicle Borne Improvised Explosive Device’ (VBIED) berskala besar di Malaysia sebelum menyusup keluar untuk menyertai Daesh di Syria.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut bila arahan terbabit dikeluarkan atau serangan berkenaan dirancang dilakukan.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Exco: Cari resolusi terbaik, tindakan segera elak pelajar terlibat DAESH

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan Negeri akan mengambil langkah segera bagi mengelakkan pelajar daripada terjebak dengan kegiatan militan DAESH.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kerajaan Negeri memandang serius perkara terbabit dan mengambil pendekatan berkesan menangani masalah itu.

“Kita memandang serius perkara yang membabitkan pelajar. Kita tidak mahu mereka terbabit dengan sebarang gejala yang merosakkan diri-sendiri,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) bagi mencari solusi terbaik dalam hal itu.

NIK-NAZMi“Kita mahukan kerjasama semua pihak membantu mencari jalan penyelesaian terbaik dan Kerajaan Negeri akan berbincang dengan JAIS, UNISEL dan KUIS dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sebelum ini, universiti awam mengambil pelbagai langkah bagi mengelak penuntut daripada terjebak dengan kegiatan militan DAESH termasuk melakukan pemantauan terhadap akaun media sosial mereka.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, terdapat sebilangan kecil mahasiswa mempunyai kecenderungan menyokong ideologi DAESH.

Polis Diraja Malaysia bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dalam usaha bendung pengaruh militan DAESH dalam kalangan mahasiswa.

Noor Rashid berkata, kumpulan militan itu menyasarkan golongan muda untuk direkrut kerana mereka mudah terpengaruh.

Beliau berkata, kumpulan militan DAESH merekrut pelajar yang berdepan masalah seperti konflik keluarga dan masalah sosial hasil daripada risikan.

Noor Rashid berkata, kerjasama dengan Jabatan Agama Islam negeri juga dipertingkatkan kerana kumpulan DAESH turut menggunakan isu agama untuk mendapatkan pengikut.

-NFN-