Categories
NASIONAL

IPU: Enam kawasan catat udara sederhana

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 OGOS: Enam kawasan di seluruh Malaysia mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana, setakat 11 pagi tadi.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), enam kawasan itu termasuk Banting (51), Pasir Gudang (55), Sungai Petani (53), Nilai (65), Kemaman (56) dan Putrajaya (54).

Minggu lalu, jerebu yang kerap melanda negara pada pertengahan tahun dilaporkan kembali berulang dengan jarak penglihatan di sekitar Lembah Klang dan Shah Alam juga kelihatan agak kabur serta berasap.

IPUBerdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 18 Ogos lalu, bilangan titik panas (hotspot) di Kalimantan, Indonesia terus meningkat kepada 183 berbanding 146 (17 Ogos) dan enam titik panas di kesan di Sumatera.

Dalam negara pula, 15 titik panas dikesan iaitu di Sarawak membabitkan beberapa kawasan di Limbang, Miri, Bintulu, Kapit, Sibu, Sarikei dan Sri Aman.

Keadaan itu dipengaruhi jerebu merentas sempadan berikutan kebakaran tanah dan hutan di Sumatera Tengah, Indonesia yang dibawa angin Monsun Barat Daya.

JAS masih memantau rapi status kualiti udara di seluruh negara berikutan kejadian jerebu masih tidak menentu.

Titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang masih aktif boleh menyebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan berterusan ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan ke negeri Sarawak.

Bacaan IPU antara 0-50 dikategorikan sebagai baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 301-400 (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa di kawasan masing-masing.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.