Categories
SELANGOR

Insentif suntik semangat luar biasa atlet SUKMA

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 OGOS: Insentif wang tunai kepada pemenang pingat emas
SUKMA 2016 menyuntik semangat luar biasa kepada atlet Selangor.

Pemenang dua pingat emas, Nur Zunaira Zakaria, berkata ganjaran berkenaan membuktikan keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan sukan negeri.

“Saat terima sendiri insentif daripada tangan Menteri Besar, apa yang terlintas di fikiran saya perlu bekerja lebih kuat lagi.

“Apabila dihargai, kita pasti mahu memberikan lebih daripada yang diminta,” kata pemenang acara 10 meter Air Pistol Wanita Individu dan Berpasukan itu kepada SelangorKini.

Rakan sepasukannya, Nur Hidayah Zulkifli pula berpendapat majlis penghargaan secara berasingan memberikan impak berbeza.

“Sebelum ini tiada majlis sebegini, kita diraikan sama sahaja dengan atlet lain.

“Sekarang, kita dipanggil naik ke pentas dan orang bersorak menjadikan kita seronok dalam masa sama bangga dan berbaloi dengan apa yang diusahakan untuk negeri,” katanya.

Sementara itu, pemenang emas acara menembak 10 meter air pistol lelaki berpasukan, Tan Tong Tat berharap insentif berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Ini bukan soal atlet mata duitan atau sebagainya, tetapi ini soal penghargaan.

“Secara tidak langsung, ia juga menaikkan lagi taraf sukan sebagai karier profesional pilihan anak muda,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Muhammad Afiq Fakhri Azmen memuji usaha komprehensif pimpinan negeri memacu pembangunan sukan di Selangor.

“Semoga segala usaha dapat dilipatgandakan bagi mengekalkan kejuaraan Selangor di SUKMA Perak dua tahun lagi. Dua tahun bukan lama,” kata atlet menembak Rifle itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.